SERENDAH, 17 Mac (IKIM) – Lebih 42,000 golongan memerlukan di seluruh negara menerima manfaat menerusi Program Ramadan MADANI anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia tahun ini, melibatkan peruntukan hampir RM1.4 juta.
Sejak Februari lalu, sebanyak 31 program telah dilaksanakan di pelbagai lokasi bagi memperluas capaian bantuan kepada kumpulan sasar termasuk pelajar, keluarga B40, golongan asnaf serta institusi masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, selain bantuan tunai kepada individu, program tersebut turut menyalurkan sumbangan kepada surau, masjid serta sekolah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Program ini bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan secara langsung, malah memperkukuh peranan institusi komuniti dalam pembangunan ummah,” katanya ketika berucap.
Menurut beliau, pendekatan MADANI yang diketengahkan turut menonjolkan nilai inklusiviti dengan penglibatan merentasi latar belakang agama.
“Ramadan bukan sekadar membawa kegembiraan kepada umat Islam, tetapi menjadi ruang mempererat silaturahim dan ukhuwah seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ramadan MADANI YAPEIM 2026 di Serendah, Selangor.

Program berkenaan yang bermula pada 25 Februari di Sabah itu diteruskan ke seluruh negara sebagai jelajah kebajikan berskala nasional.
Zulkifli berharap inisiatif berterusan tersebut akan terus memperkukuh peranan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dalam menyalurkan bantuan secara inklusif, menyeluruh dan berimpak tinggi kepada golongan yang memerlukan.
Kredit foto: Facebook YB Senator Dr Zulkifli Hasan




