Batu Kurau, 9 April (IKIM) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menzahirkan keprihatinan terhadap nasib keluarga mangsa nahas jalan raya dengan menyalurkan bantuan pendidikan kepada waris Allahyarham Amirul Hafiz Omar melalui Program Ziarah Kasih PTPTN.
Lawatan tersebut diadakan di kediaman keluarga mangsa di Batu Kurau, Perak susulan tragedi kemalangan maut di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor yang melibatkan pemandu mabuk.
Sesi ziarah itu diketuai oleh Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim bersama pegawai kanan agensi berkenaan.
Dalam kunjungan tersebut, PTPTN menyampaikan sumbangan berbentuk simpanan Akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM3,000 kepada tiga orang anak Allahyarham, dengan setiap seorang menerima RM1,000 sebagai sokongan awal pendidikan mereka.
Menurut Norliza, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN dalam membantu meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah.
“Walaupun tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan seorang suami dan bapa, kami berharap sumbangan ini dapat menjadi sokongan bermakna dalam memastikan pendidikan anak-anak Allahyarham terus terbela,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Simpan SSPN merupakan instrumen simpanan pendidikan yang komprehensif bagi membantu rakyat Malaysia membuat perancangan kewangan jangka panjang.
Antara kelebihan yang ditawarkan termasuk pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, geran sepadan sehingga RM10,000 serta dividen yang kompetitif.
Selain itu, produk Simpan SSPN Plus turut menyediakan enam pakej simpanan bermula serendah RM30 sebulan, lengkap dengan manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta serta khairat kematian kepada pendeposit dan ahli keluarga.
PTPTN yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan program CSR khususnya dalam bidang pendidikan, selaras dengan usaha membangunkan modal insan negara.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh melayari portal rasmi PTPTN atau menggunakan aplikasi myPTPTN bagi urusan yang lebih mudah dan pantas.




