KUALA LUMPUR 31 Jan (IKIM) — Program Street Dakwah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama 13 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disempurnakan oleh Senator Dr. Zulkifli Hasan, sebagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan dakwah secara langsung, berhikmah dan berhemah.

Zulkifli berkata, program tersebut dimeriahkan dengan aktiviti sumbangan makanan, bertanya khabar serta beramah mesra bersama orang ramai, bertujuan menyampaikan mesej dakwah dalam suasana santai namun berkesan.

Program itu turut melibatkan interaksi dengan masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk pelancong dari luar negara.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian bukan sahaja menyebarkan nilai kebaikan, malah memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Program berkenaan diakhiri dengan persembahan busking dan selawat yang menambahkan suasana harmoni serta mesra komuniti.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata penganjuran program di kawasan tumpuan pelbagai budaya seperti Bukit Bintang amat berkesan dalam menyantuni masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Beliau turut menyifatkan inisiatif yang diterajui Senator Dr. Zulkifli Hasan itu sebagai langkah signifikan dalam memupuk kefahaman, keharmonian dan perpaduan nasional.

Turut hadir program ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustazah Marhamah Rosli; Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil; Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Haji Ahmad Fauwaz Dato’ Haji Fadzil; dan Pengarah Pusat Media IKIM, Hj Ahmad Fuad Mat Ali.





