KUALA LUMPUR, 7 Mac (IKIM) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menganjurkan Majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang digabungkan dengan Majlis Berbuka Puasa Menteri Pendidikan bersama pemain industri perbukuan negara, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan menghimpunkan penerbit, penulis, pengedar, pencetak serta wakil institusi pendidikan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam industri perbukuan negara.
Menurut kenyataan KPM, penganjuran majlis bersepadu itu mencerminkan komitmen kementerian dalam memantapkan ekosistem buku negara melalui kerjasama erat antara kerajaan dan pemegang taruh industri, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang membawa tema “Malaysia Membaca: Merayakan Buku” dijadualkan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Sebanyak 1,210 reruai pameran akan disediakan bagi memberi peluang lebih luas kepada penggiat industri tempatan dan antarabangsa mempamerkan karya terbaharu sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi sektor perbukuan.
Edisi kali ini turut menampilkan Arab Saudi sebagai Negara Fokus yang akan memperkenalkan kecemerlangan literasi dan penerbitan negara itu, manakala Pahang dipilih sebagai Negeri Tamu yang bakal mengetengahkan kekayaan warisan serta sumbangan literasi negeri tersebut.

Selain itu, beberapa pavilion khas turut diwujudkan termasuk Pavilion Kementerian Pendidikan Malaysia, Pavilion Kementerian Perpaduan Negara serta Pavilion Baitul Hikmah MADANI oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memperkukuh sokongan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan dan budaya ilmu.
PBAKL 2026 juga akan menampilkan ASIAN Rights Fair (ARF) sebagai platform pertukaran hak cipta bagi memperluas jaringan antarabangsa karya Malaysia.
Pengunjung turut berpeluang mengunjungi Galeri Buku Kegemaran Pemimpin MADANI yang mempamerkan bahan bacaan pilihan pemimpin negara sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat.

Dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda, festival tersebut turut menampilkan Festival Sastera Kanak-Kanak, Festival Kata serta program MIFLA Junior yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan literasi dalam kalangan pelajar dan pengawas perpustakaan.
Sepanjang penganjuran, pelbagai program menarik akan berlangsung di tiga pentas utama iaitu Pentas Utama, Dewan Merdeka dan Dewan Tun Razak 3 yang akan menampilkan persembahan seni, dialog intelektual serta aktiviti pembacaan buku untuk semua lapisan masyarakat.
KPM melalui MBKM optimis PBAKL 2026 akan terus menjadi platform penting dalam memacu perkembangan industri perbukuan negara di samping memperkukuh budaya membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia.




