KUALA TERENGGANU, 2 April (IKIM) – Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1447H/2026M terus menjadi platform penting dalam memperkukuh syiar Islam serta membudayakan penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata penganjuran bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri saban tahun mencerminkan komitmen berterusan dalam memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pra Pelancaran MTHQK 1447H/2026M di perkarangan U2, Wisma Negeri, di sini hari ini, mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurutnya, dalam mendepani cabaran dunia moden seperti krisis kemanusiaan, perubahan iklim dan cabaran digital, umat Islam perlu kembali kepada prinsip kenabian seperti rahmah, keadilan, ihsan, amanah dan taqwa dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama kehidupan.

“Penganjuran ini bukan sekadar mencari peserta terbaik mewakili negara ke peringkat antarabangsa, tetapi lebih penting menanam rasa cinta terhadap al-Quran dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.
MTHQK 1447H/2026M akan berlangsung selama enam hari bermula 13 hingga 18 April ini di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, dengan tema “Kalam Ilahi, Tradisi Diwarisi”.

Majlis Perasmian Pembukaan dijadualkan pada 13 April, manakala majlis penutupan dan pengurniaan hadiah akan berlangsung pada 18 April, disempurnakan oleh Sultan Terengganu.
Dalam pada itu, Marhamah berkata, penganjuran edisi ke-68 tahun ini menampilkan pelbagai pembaharuan termasuk penggunaan sistem digital eMTHQ serta teknologi kecerdasan buatan dalam segmen ibrah bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian mesej kepada penonton.

Selain itu, beberapa penambahbaikan format pertandingan turut diperkenalkan bagi meningkatkan tahap cabaran kepada peserta, termasuk keperluan mempersembahkan taranum wajib dalam kategori tilawah serta format hafazan tanpa panduan petunjuk.
Seramai 108 peserta dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam MTHQK kali ini, melibatkan 28 peserta kategori tilawah dan 80 peserta kategori hafazan.
Para pemenang bakal menerima hadiah dalam bentuk wang tunai, pakej haji atau umrah, piala, sijil serta tajaan tambahan berupa jongkong emas oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Beliau turut mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan majlis tersebut atau mengikuti siaran langsung menerusi RTM, TV AlHijrah serta pelbagai platform digital dan rangkaian radio termasuk IKIMfm.
Dalam masa sama, beliau berharap penganjuran MTHQK dapat terus meningkatkan penghayatan umat Islam terhadap al-Quran serta memperkukuh pembangunan ummah yang seimbang dan menyeluruh di negara ini.




