PPZ-MAIWP KERJASAMA DENGAN GLORIA JEAN’S COFFEES JAYAKAN KEMPEN “JOM POTONG 2025”

Kuala Lumpur, 23 Julai (IKIM) — Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) terus memperkukuh usaha memasyarakatkan zakat apabila melancarkan Kempen Jom Potong 2025 dengan kerjasama rasmi jenama kopi terkemuka, Gloria Jean’s Coffees Malaysia.

Majlis pelancaran yang diadakan pada petang ini disempurnakan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Dato’ Sri Amrin Awaluddin yang turut merakamkan penghargaan kepada Gloria Jean’s Coffees atas komitmen sebagai rakan kolaborasi strategik bagi tahun ini.

“Komitmen dan keterbukaan Gloria Jean’s Coffees bukan sahaja memperlihatkan sokongan terhadap dakwah zakat, malah mencerminkan satu bentuk tanggungjawab sosial korporat yang sangat kami hargai,” kata beliau dalam ucapannya.

Amrin berkata Kempen Jom Potong merupakan inisiatif tahunan bagi mempromosikan Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) yang membolehkan pembayaran zakat dibuat secara tetap melalui potongan gaji.

Beliau berkata tahun ini merupakan tahun keempat kempen ini dilaksanakan, namun hadir dengan pendekatan baharu yang lebih segar dan mesra generasi muda.

Amrin menegaskan bahawa kerjasama bersama Gloria Jean’s Coffees bukan sekadar simbolik, sebaliknya signifikan memandangkan syarikat tersebut juga merupakan pembayar zakat di bawah naungan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

“Kolaborasi ini membuka ruang agar mesej zakat tidak lagi dilihat sebagai seruan yang jauh dan berat, tetapi sebahagian daripada gaya hidup moden,” tambah beliau.

Sepanjang enam bulan kempen berlangsung dari Julai hingga Disember 2025, pelbagai program interaktif akan dianjurkan termasuk promosi bersama, hadiah istimewa kepada muzakki, sesi taklimat di syarikat-syarikat terpilih, aktiviti digital serta penglibatan pempengaruh dan pencipta kandungan (content creator).

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM575 juta berjaya dikutip melalui Skim Potongan Gaji Zakat pada tahun lalu sahaja, mewakili lebih separuh daripada keseluruhan kutipan zakat PPZ-MAIWP.

“Setiap ringgit zakat yang ditolak secara automatik dari gaji para muzakki telah menjadi tali penyambung harapan buat ribuan penerima zakat,” ujar beliau.

Turut hadir majlis ini Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Datuk Nor Azam M. Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Gloria Jean’s Coffees, Zafrul Azman Mohamed Azraai.

WhatsApp
Scroll to Top