PODCAST PERTAMA DARI DALAM PENJARA MALAYSIA “BUKAN MAKSUM” DITAYANGKAN 1 SYAWAL 2025

KUALA LUMPUR, 28 Mac (IKIM) – Sejarah baharu penyiaran Malaysia bakal tercipta apabila sebuah program podcast pertama yang diterbitkan dari dalam penjara, Bukan Maksum – Ibrah dari Tirai Besi, akan menemui penonton mulai 1 Syawal 2025.

Podcast terbitan TVIKIM dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia ini bertujuan memberikan pencerahan serta keinsafan kepada masyarakat menerusi kisah banduan dan kepentingan kesihatan mental.

Penerbit Rancangan Kanan TVIKIM. Norhaffizah Razak berkata rancangan ini bukan sekadar berkongsi kisah penghuni penjara tetapi lebih kepada memberi ibrah serta pengajaran kepada masyarakat tentang punca jenayah, kesedaran kesihatan mental dan proses rehabilitasi banduan.

“Kami ingin membawa perspektif yang lebih mendalam mengenai kehidupan di dalam penjara serta bagaimana seseorang boleh berubah ke arah kebaikan. Program ini bukan sekadar berkongsi kisah, tetapi bertujuan untuk memberikan ibrah dan pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Podcast Bukan Maksum berkonsepkan bual bicara rahsia, di mana identiti banduan tidak didedahkan dan program ini dikendalikan bersama Tyzo Xander dan Hj. Ikhram Husin, serta menampilkan pegawai penjara sebagai panel jemputan.

Setiap episod berdurasi 30 minit akan mengupas pelbagai isu berkaitan jenayah berat seperti pembunuhan, kes jenayah seksual, pecah amanah, dadah, serta peranan pegawai penjara dalam rehabilitasi banduan.

Episod pertama Bukan Maksum akan ditayangkan pada 1 Syawal 2025, disusuli siaran ulangan pada 2 dan 3 Syawal pada jam 3 petang.

TVIKIM berharap rancangan ini mampu memberikan impak positif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemulihan mental dan peluang kedua bagi bekas banduan dan dengan pendedahan ini, diharapkan masyarakat lebih memahami punca salah laku dan bagaimana seseorang boleh berubah ke arah kebaikan.

WhatsApp
Scroll to Top