PNB MERDEKA VENTURES ANJUR PERLAWANAN BOLA SEPAK PERSAHABATAN DI STADIUM MERDEKA

KUALA LUMPUR, 12 Jan (IKIM) — Stadium Merdeka kembali dimeriahkan dengan penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV) bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sekali gus memperkukuh peranan stadium bersejarah itu sebagai ruang komuniti aktif untuk masyarakat.

Perlawanan tersebut turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan serta Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, yang memeriahkan lagi suasana acara.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim berkata, penganjuran aktiviti seumpama itu bertujuan memastikan Stadium Merdeka terus berfungsi sebagai ruang komuniti yang inklusif dan menyatukan rakyat, selain mengekalkan nilai sejarah dan warisannya.

Beliau berkata stadium tersebut kini dibuka secara percuma kepada orang ramai untuk pelbagai aktiviti riadah dan komuniti.

“Kami mahu Stadium Merdeka terus menjadi ruang komuniti yang aktif dan menyatukan masyarakat, bukan sekadar dikenang melalui sejarah sukannya. Sebagai tarikan utama dalam presint Merdeka 118, stadium ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia untuk bersukan, beriadah, yoga atau pelbagai aktiviti komuniti lain. Kemasukan adalah percuma, dan kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang merasai sendiri suasananya,” katanya.

Stadium Merdeka yang dibuka semula pada Ogos 2024 selepas kerja pemuliharaan menyeluruh telah menganjurkan lebih 200 acara melibatkan bidang sukan, budaya, seni, pendidikan dan warisan, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama dalam presint Merdeka 118.

WhatsApp
Scroll to Top