PM LANCAR MUSHAF MALAYSIA MADANI BERTEKNOLOGI QR

PUTRAJAYA, 16 Mac (IKIM) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Mushaf Malaysia MADANI yang dilengkapi teknologi kod QR dalam satu majlis di Kompleks Percetakan Bersepadu Nasyrul Quran, Putrajaya hari ini.

Pelancaran mushaf tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh program tadabbur al-Quran di peringkat kebangsaan dengan menggabungkan keindahan seni khat Islam tempatan serta inovasi digital bagi memudahkan masyarakat menghayati al-Quran secara lebih interaktif selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Mushaf Malaysia MADANI merupakan antara mushaf al-Quran hibrid terawal di Malaysia yang mengintegrasikan elemen seni dan teknologi.

Melalui penggunaan kod QR, pembaca boleh mengakses pelbagai kandungan tambahan termasuk terjemahan pelbagai bahasa, terjemahan perkataan demi perkataan, panduan tajwid, asbab al-nuzul serta penerangan berkaitan elemen STEM yang berkait dengan ayat-ayat al-Quran.

Proses penyalinan mushaf ini mengambil masa hampir lima tahun dan dihasilkan oleh penulis khat berpengalaman dari Yayasan Restu, Abdul Baki Abu Bakar yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad termasuk terlibat dalam penyalinan Mushaf Malaysia pada tahun 1995 dalam memastikan kesempurnaan kandungan al-Quran terus terpelihara.

Sementara itu pembangunan sistem kandungan digital diketuai oleh Arif Azamuddin Rochi bersama pasukan teknikal yang membangunkan integrasi kandungan interaktif melalui teknologi kod QR.

Mushaf ini turut menampilkan audio tilawah oleh Ahmad ‘Isa al-Ma’sarawi dari Mesir, seorang pakar qiraat bertaraf antarabangsa.

Selain itu, Afeefuddin al-Jailani berperanan sebagai penasihat al-Quran antarabangsa bagi memastikan ketepatan kandungan serta penyelarasan terjemahan dalam pelbagai bahasa.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Abdul Latiff Mirasa memaklumkan cetakan pertama mushaf tersebut akan dikeluarkan sebanyak 20,000 naskhah, manakala proses pengagihan dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.

Beliau berkata orang ramai kini boleh membuat tempahan awal sama ada untuk kegunaan peribadi, hadiah mahupun tujuan wakaf.

Menurutnya lagi, Yayasan Restu turut merancang Fasa Kedua projek tersebut bagi memperluaskan manfaat mushaf melalui program tadabbur al-Quran, bengkel penghayatan serta pelbagai inisiatif pendidikan berasaskan mushaf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, selain pegawai kanan kerajaan serta wakil daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Perdana Menteri turut melancarkan satu kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf Satu Juta Al-Quran, yang mengandungi naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam beberapa bahasa untuk komuniti Muslim di luar negara.

Antara terjemahan yang disediakan termasuk bahasa Sepanyol serta edisi bahasa Inggeris dan Perancis yang akan diedarkan kepada komuniti Muslim di Kanada dan Amerika Syarikat.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperluaskan penyebaran al-Quran ke peringkat global serta mempromosikan pemahaman nilai-nilai Islam kepada masyarakat antarabangsa.

WhatsApp
Scroll to Top