Petaling Jaya, 21 Jun (IKIM) – MR D.I.Y pada hari ini mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan seni MR D.I.Y 2024 dengan bertemakan ‘Realiti Abstraksi’ yang diadakan di superstore MR D.I.Y PLUS di IPC Shopping Center, Selangor.
Seramai 22 artis muda Malaysia dianugerahkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 pada majlis penyampaian hadiah ini dan pemenang utama di rangkul oleh pensyarah dan pelajar masing-masing membawa pulang hadiah utama RM15,000 dan RM4,000 bagi kategori awam dan institusi pendidikan.
Menurut Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Andrian Ong berkata tema realiti abstraksi diangkat bertujuan untuk meneroka perspektif orang ramai berkenaan hubungan antara abstrak dan sebenar, seterusnya melihat di luar permukaan dan pertimbangkan tafsirannya.
“Beberapa karya yang menang mengintegrasikan elemen budaya Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan membuktikan bahawa dalam dunia seni dan kreatif, perbezaan merentasi sempadan”, katanya.
Mengulas lanjut, Andrian berkata melalui usaha seperti ini dapat menginspirasikan rakyat Malaysia untuk melihat perkara di luar konteks dengan lebih mendalam dan menghargai hubungan masyarakat antara satu sama lain.
Sementara itu, buat julung kalinya pertandingan ini menampilan dua kategori berasingan – Institusi Awam dan Pendidikan – bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai rakyat Malaysia dalam mempamerkan bakat dan kebolehan seni mereka.
Terdahulu, pertandingan ini merupakan pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh MR D.I.Y dan kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dengan mendapat lebih 1,000 penyertaan termasuk 322 penyertaan dari peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara.