PERPADUAN DAN PENGHAYATAN SUNNAH TERAS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL WILAYAH PERSEKUTUAN 2025

KUALA LUMPUR, 8 September (IKIM) – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M berlangsung meriah di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini dengan penglibatan 15 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim Haji Mokhtar yang menekankan kepentingan mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai asas pembinaan ummah madani.

“Rasulullah SAW bukan sahaja membawa ajaran tauhid, malah membina asas masyarakat madani berpaksikan nilai keadilan, toleransi, amanah, ilmu, perpaduan dan kasih sayang. Nilai-nilai inilah yang perlu kita terapkan dalam usaha membina umat yang cemerlang di dunia dan akhirat,” ujar beliau.

Dalam ucapannya, beliau menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperhebatkan program penghayatan nilai murni, khususnya dalam kalangan generasi muda sebagai pelapis ummah madani.

Beliau turut menekankan keperluan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat ilmu, peradaban serta kesatuan masyarakat, bukan sekadar tempat ibadah serta mencadangkan penyelarasan pengajian Kitab Hadis 40 secara berterusan di seluruh masjid dan surau Wilayah Persekutuan.

Beliau juga menekankan kepentingan institusi agama bergandingan bersama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam memberi penerangan isu semasa berkaitan akidah, syariah dan akhlak di samping usaha membanteras ajaran sesat melalui kerjasama bersepadu dengan PDRM, SKMM, DBKL dan agensi strategik lain.

Menyentuh soal kesejahteraan masyarakat, Mohd Naim menegaskan bahawa MAIWP perlu menambah baik program bantuan asnaf, terutama dalam pendidikan dan kemahiran, selaras dengan komitmen Perdana Menteri untuk menangani isu kemiskinan di Wilayah Persekutuan.

Sambutan kali ini turut menyaksikan pengiktirafan kepada Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan 2025 serta beberapa penerima Anugerah Khas dan Anugerah Organisasi sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap pembangunan ummah.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus melipatgandakan usaha dakwah dan khidmat bakti kepada masyarakat,” tambah beliau.

Majlis yang penuh kesederhanaan namun bersemangat itu menampilkan acara perarakan selawat, pengiktirafan tokoh dan organisasi, serta penglibatan erat pelbagai agensi termasuk DBKL, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan serta rakan-rakan korporat.

WhatsApp
Scroll to Top