KUALA LUMPUR, 5 Okt (IKIM) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 Tahun 1446H/2024M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Berucap dalam majlis perasmian Anwar berkata umat Islam perlu memahami maksud dan kepentingan perpaduan sebagai prasyarat utama dalam usaha membangunkan ekonomi negara di samping memiliki kefahaman, kesabaran serta kebijaksanaan dalam mengambil sebarang langkah kerana kekuatan sesebuah negara itu akan menjadi tonggak untuk langkah seterusnya.
Beliau berkata kecelaruan dan perpecahan yang terjadi dalam negara Islam boleh menjadi peluang bagi musuh untuk menyerang, menghina, dan menjajah, seperti yang berlaku di Gaza dan kini merebak ke Lubnan.
“Sebab itu dalam Kerajaan MADANI kita mulakan dengan memupuk perpaduan yang kental dalam kalangan kita, menjamin supaya ada persefahaman dan perdamaian antara umat Islam dan bukan Islam di negara kita.
“Itu prasyarat untuk bangunkan ekonomi yang kita sebut mampan, bukan sekadar ekonomi kukuh tetapi beri keselesaan dan jaminan kepada rakyat miskin bandar, desa dan pedalaman dan masyarakat lain yang rasa terpinggir,” katanya.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam ucapan perasmian Anwar juga memohon kebijaksanaan orang ramai supaya memahami konsep negara MADANI yang digagaskan pentadbirannya kerana tidak banyak negara mempunyai pendekatan sedemikian.
“Saya mohon kebijaksanaan supaya negara MADANI ini dimengertikan kerana tidak banyak negara mempunyai ruang, kesempatan dalam kerukunan hidup yang damai meletakkan asas ekonomi kukuh dan kini telah mendapat perhatian dalam pelbagai bidang,” katanya.
Perdana Menteri juga mengulangi gesaan supaya umat Islam terus meneroka bidang baharu yang dahulunya asing kerana ia akan menentukan kekuatan masa kini dan hadapan.
Beliau berkata disebabkan itu, kerajaan komited untuk memastikan hampir 200,000 pelajar tahfiz di seluruh negara ketika ini diperkasa dengan keupayaan teknikal dalam pelbagai bidang seperti tenaga, digital dan juga kecerdasan buatan (AI).
Penganjuran MTHQA kali ini melibatkan seramai 92 orang peserta keseluruhannya dari 71 buah negara dengan peserta tilawah seramai 53 orang manakala peserta hafazan seramai 39 orang.
MTHQA bermula malam ini 5 Oktober dengan tiga peserta telah mendengarkan bacaan, iaitu dari United Kingdom, Thailand DAN India.
MTHQA juga boleh didengari setiap hari secara langsung di IKIMfm dan ditonton di facebook IKIMfm serta TVIKIM bermula 5 hingga 12 Oktober 2024.