PERDANA MENTERI RASMI MASJID JAMEK MENGKUANG TITI SEMPENA NUZUL AL-QURAN

PERMATANG PAUH, 7 Mac (IKIM) – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Jamek Mengkuang Titi bersempena sambutan Nuzul al-Quran 1447 Hijrah di Mengkuang Titi, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Masjid yang dibina itu dijangka menjadi nadi kepada masyarakat setempat sebagai pusat menimba ilmu, memperkukuh ukhuwah serta mengimarahkan penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup.

Turut hadir pada majlis Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Program dimulakan dengan tadarus 30 juzuk al-Quran dan majlis khatam al-Quran yang disertai kira-kira 300 peserta belia menerusi pelaksanaan program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan.

Program itu merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi menggalakkan penglibatan golongan belia dalam mengimarahkan institusi masjid sepanjang bulan Ramadan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk tadarus al-Quran, kuliah Ramadan, iftar komuniti serta program kebajikan masyarakat.

Inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan sebelum ini dilancarkan Perdana Menteri pada 22 Februari lalu sebagai usaha menghubungkan institusi masjid dengan golongan belia melalui pendekatan lebih segar dan inklusif, sekali gus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti serta pembentukan sahsiah generasi muda.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan Inisiatif Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) melalui kerjasama strategik antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Inisiatif tersebut bertujuan memperkasa institusi pendidikan Islam di negara ini melalui pembangunan kemahiran digital serta pendedahan kepada teknologi masa hadapan, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan menjelang 2030.

Penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat serta memastikan institusi pendidikan Islam kekal relevan dan berdaya saing dalam era digital.

WhatsApp
Scroll to Top