KUALA LUMPUR, 24 Jun (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa beberapa penerbangan pulang jemaah haji ke tanah air telah dijadualkan semula atas faktor keselamatan dan perkembangan semasa operasi penerbangan di rantau Asia Barat.
Dua penerbangan carter yang terlibat ialah KT043 (MH8301) yang dijadualkan berlepas dari Madinah pada 24 Jun 2025 jam 5:10 pagi (waktu Arab Saudi) dan KT034 (MH8291) dari Jeddah pada hari yang sama jam 6:40 pagi.
Kedua-dua penerbangan ini mengalami penundaan sekurang-kurangnya 24 jam dari jadual asal, berikutan nasihat keselamatan daripada syarikat penerbangan serta keperluan penyelarasan trafik udara dan logistik semasa.
Bagi menjaga kebajikan jemaah yang terlibat, TH telah menempatkan mereka sementara waktu di hotel sekitar Jeddah serta Madinah dan pada masa sama koordinasi antara pihak syarikat penerbangan dan TH sedang giat dijalankan di lapangan terbang untuk memastikan kelancaran urusan logistik dan kepulangan para jemaah.
Sehingga kini sebanyak 39 penerbangan pulang jemaah telah selamat tiba di tanah air manakala baki 61 penerbangan lagi masih menanti giliran.
Sebarang perubahan atau perkembangan terkini berkaitan jadual penerbangan akan dimaklumkan kepada jemaah dan waris dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi TH.
Sementara itu pihak TH menegaskan bahawa keselamatan dan keselesaan jemaah kekal menjadi keutamaan.