KUALA LUMPUR, 25 Feb (IKIM) – Pencapaian calon Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025 menunjukkan peningkatan apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan nilai 1.83 berbanding 1.85 pada tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata peningkatan itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Kurikulum KAFA serta komitmen berterusan guru, ibu bapa dan murid dalam memperkukuh pendidikan Islam di peringkat rendah.
Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan, sebanyak 89.61 peratus berjaya mencapai tahap lulus keseluruhan.
“Seramai 24,761 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A, diikuti 25,230 calon mendapat 8A dan 18,990 calon memperoleh 7A,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak, hari ini.
Menurut beliau, jumlah calon UPKK yang berdaftar pada tahun 2025 meningkat kepada 252,997 orang, iaitu pertambahan sebanyak 5.17 peratus berbanding 240,244 calon pada tahun 2024.
Daripada jumlah itu, seramai 251,392 calon atau 99.37 peratus hadir menduduki peperiksaan, manakala kadar ketidakhadiran menurun kepada 0.63 peratus berbanding 1.36 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata peningkatan penyertaan itu menunjukkan kesedaran tinggi ibu bapa terhadap kepentingan pendidikan Islam serta usaha berterusan guru dalam memastikan murid mengikuti penilaian tersebut.
Dalam pada itu, seramai 163 calon Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) turut menduduki UPKK tahun ini, termasuk calon masalah penglihatan yang menjawab peperiksaan menggunakan kaedah braille serta kertas soalan cetakan khas.
Katanya, kerajaan komited memastikan pendidikan Islam yang inklusif dengan menyediakan kemudahan sewajarnya termasuk masa tambahan kepada calon MBPK bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan dalam keadaan kondusif.
Zulkifli berkata program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang diperkenalkan sejak 1990 terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembentukan sahsiah, akhlak dan jati diri murid Islam di peringkat awal.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan Islam yang mantap, digabungkan dengan kecemerlangan intelektual dan kemahiran insaniah, akan melahirkan generasi Muslim berdaya tahan, inovatif dan mampu bersaing di peringkat global.
Pada masa sama, beliau menyeru ibu bapa agar menghargai usaha anak-anak tanpa menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak, sebaliknya terus memberi sokongan dan dorongan dalam perjalanan menuntut ilmu.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh sistem pendidikan Islam negara.




