MRSM ULUL ALBAB FELDA TROLAK RAIH ANUGERAH EMAS DI FESTIVAL ANTARABANGSA

PRAGUE, 22 Jun (IKIM) – Nama Malaysia dan FELDA sekali lagi harum di pentas antarabangsa apabila MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak berjaya merangkul Anugerah Emas Golden Diploma dalam kategori middle class di Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025.

Pertandingan yang berlangsung di Republik Czech pada 20 dan 21 Jun itu menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 buah negara, dengan MAWO menjadi satu-satunya wakil dari Asia.

MAWO dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan tujuh kumpulan lain dari enam buah negara Eropah dalam persembahan mereka dengan mendapat markah tertinggi daripada juri profesional berdasarkan mutu persembahan, kecekapan teknikal dan penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa.

Pengumuman kemenangan dibuat pada jam 8 malam waktu tempatan, bersamaan jam 2 pagi waktu Malaysia, di Hotel Olsanka Prague.

Festival ini membahagikan peserta kepada tiga kategori iaitu lower class, middle class dan higher class berdasarkan tahap kesukaran muzik dan kemahiran peserta.

Kejayaan MAWO membuktikan keberkesanan pendidikan Ulul Albab dan sokongan berterusan FELDA dalam mencungkil bakat muda luar bandar hingga mampu bersaing di peringkat dunia dan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan tidak mengenal sempadan.

MAWO dijadualkan tiba di tanah air pada 23 Jun, jam 2 petang.

WhatsApp
Scroll to Top