MR D.I.Y. BAWAK KEMBALI “BERSAMA SATU BAZAAR” MERIAHKAN SAMBUTAN MERDEKA

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (IKIM) – Sambutan Hari Kebangsaan kali ini bakal lebih meriah apabila MR D.I.Y. Group [M] Berhad [MR D.I.Y.], peruncit barangan rumah terbesar di Malaysia, kembali menganjurkan bazar Merdeka yang dinantikan ramai untuk tahun kedua berturut-turut.

Bertemakan “Bersama Satu Bazaar”, karnival empat hari ini akan berlangsung di Sunway Pyramid Open Car Park dari 29 Ogos hingga 1 September 2025, bersempena ulang tahun ke-68 Hari Kemerdekaan negara.

Menampilkan lebih 100 gerai jualan, bazar ini menghimpunkan pelbagai vendor makanan serta gaya hidup tular Malaysia, di samping jenama di bawah MR D.I.Y. Group seperti MR. D.I.Y., MR. TOY, dan MR. DOLLAR.

Pengunjung boleh menikmati hidangan tempatan kegemaran ramai termasuk roti canai, nasi lemak, laksa, burger, mi, pencuci mulut dan minuman, di samping meneroka barangan seperti aksesori buatan tangan, kraftangan, alat tulis, kosmetik, pakaian dan banyak lagi.

Acara ini turut dimeriahkan dengan penyertaan jenama popular seperti Coca-Cola, ZUS Coffee, Tealive, dan Oriental Kopi.

Selain membeli-belah, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan, bengkel kreatif, persembahan kebudayaan dan kontemporari, taman permainan belon gergasi, bubble dome, malah zoo mini menjadikan bazar ini destinasi ideal untuk seisi keluarga.

Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y. Group, Alex Goh, berkata bazar yang dianjurkan ini mendapat sambutan pengunjung saban tahun.

“Bazar pertama ‘Bersama Satu Bazaar’ mendapat sambutan amat menggalakkan daripada rakyat Malaysia, sebab itu kami bawakan kembali acara ini dan kali ini di lokasi baharu untuk menerima lebih ramai pengunjung.

Acara ini adalah wadah menyatukan rakyat Malaysia meraikan Merdeka bersama-sama, sambil menyokong perniagaan tempatan, usahawan dan penggiat seni.

Sebagai jenama tempatan, MR D.I.Y. bukan sahaja komited menawarkan produk berkualiti pada harga ‘Always Low Prices’, tetapi juga mencipta pengalaman bermakna yang menyatukan Masyarakat”, ujar beliau.

Sebagai tarikan tambahan, MR D.I.Y. akan mengagihkan beg tote percuma setiap hari kepada pengunjung yang menyertai Bazaar Passport Challenge di samping berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM8,000.

Sempena Merdeka, MR D.I.Y. turut melancarkan promosi khas ke atas 98 produk terpilih di semua cawangan MR D.I.Y. seluruh negara.

WhatsApp
Scroll to Top