BARCELONA, 2 Sept (IKIM) – Malaysia melakar sejarah baharu apabila seramai 15 wakil delegasi melalui Sekretariat Sumud Nusantara yang diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia, Cinta Salam Malaysia serta rakan-rakan NGO memulakan pelayaran bersama Global Sumud Flotilla to Gaza (GSF) dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Misi flotilla itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada 44 negara merentas Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah dengan membawa mesej kemanusiaan mendesak agar kepungan terhadap Gaza dihentikan, laluan bantuan dibuka, serta kebuluran dan perang segera ditamatkan.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap anggota Steering Committee GSF, Nadir Al-Nuri, menegaskan gelombang solidariti ini adalah sebahagian daripada arus kebangkitan global yang menolak pengepungan ke atas Gaza.
“Dari Barcelona hingga Kuala Lumpur, suara kita satu untuk hentikan kebuluran segera, hentikan perang Gaza, dan buka koridor kemanusiaan Rafah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia merangkap Chef De Mission Malaysia-GSF, Dato’ Sani Araby berkata Malaysia menjadi tumpuan dunia kerana bukan sekadar berbicara tetapi hadir dengan tindakan nyata.

“Sorakan gemuruh bergema ketika Jalur Gemilang berkibar megah di Barcelona. Malaysia membawa suara Nusantara yang menuntut keadilan untuk Gaza. Keberanian delegasi ini dipimpin oleh YAB Perdana Menteri selaku penaung Gerakan Sumud Nusantara, menjadikan negara kita dihormati di peringkat antarabangsa.
“Hari ini kapal kami belayar, esok suara solidariti Malaysia akan bergema di Gaza. Sejarah akan mencatat bahawa Malaysia tidak pernah berdiam diri, sebaliknya terus teguh berdiri bersama Gaza,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun flotilla terdahulu pernah berdepan risiko besar akibat tindakan rejim Israel, penyertaan kali ini diperkukuh melalui strategi diplomatik, sokongan undang-undang, serta pasukan sukarelawan berpengalaman.
Beliau berkata kapal-kapal yang digunakan dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan dan membawa bekalan bantuan asas selain mesej solidariti global.

Sebanyak 24 kapal flotilla telah dilepaskan dari Barcelona menuju Gaza pada Sabtu, menjadikan misi ini simbol kebangkitan masyarakat dunia menentang kezaliman.
Sekretariat Sumud Nusantara memaklumkan, fasa seterusnya akan menyaksikan kumpulan kedua delegasi Malaysia berlepas dari pelabuhan Itali pada 4 September, manakala kumpulan ketiga kini berada di Tunisia untuk turut serta.
Delegasi Malaysia menyeru seluruh rakyat agar terus mendoakan keselamatan mereka serta menyokong usaha membebaskan Gaza.