MENTERI AGAMA SERU UMAT ISLAM TUNAIKAN SOLAT HAJAT DAN DOA MUNAJAT DEMI KESELAMATAN MASJID AL-AQSA DAN RAKYAT PALESTIN

PUTRAJAYA, 24 Okt (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar menunaikan solat hajat dan doa munajat secara serentak bagi memohon perlindungan Allah SWT ke atas Masjid Al-Aqsa dan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini berdepan dengan pelbagai ujian serta penindasan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan terhadap laporan terkini berhubung keadaan Masjid Al-Aqsa yang berisiko runtuh akibat kerja-kerja penggalian agresif oleh rejim Zionis Israel di sekitar dan bawah kawasan Kota Lama Baitulmaqdis.

“Masjid Al-Aqsa bukan sekadar bangunan bersejarah, ia adalah kiblat pertama umat Islam dan antara tiga masjid suci yang dimuliakan dalam Islam. Setiap inci tanahnya melambangkan tauhid, kesatuan dan maruah umat Islam sedunia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua masjid dan surau di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengadakan solat hajat secara serentak sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara supaya mengambil langkah sama dengan mengarahkan masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing untuk turut serta dalam pelaksanaan solat hajat dan doa munajat.

“Marilah kita seluruh umat Islam memperkukuh doa, solidariti dan sokongan moral terhadap perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa yang menjadi lambang maruah dan kesucian umat Islam sejagat,” tegasnya.

Beliau turut menutup kenyataan dengan doa:

اللهم احفظ المسجد الأقصى وأهل فلسطين من كيد المعتدين، واجعل لهم من لدنك نصراً مبيناً

“Ya Allah, peliharalah Masjid Al-Aqsa dan penduduk Palestin daripada kezaliman musuh, serta kurniakan kepada mereka kemenangan yang nyata.”

WhatsApp
Scroll to Top