Kuala Lumpur, 19 Julai (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar meluahkan rasa sedih dan kebimbangan susulan laporan serbuan oleh pihak berkuasa terhadap sebuah perjumpaan yang dipercayai melibatkan aktiviti songsang di Kota Bharu, baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi, Dato’ Na’im menyifatkan kejadian tersebut sebagai cabaran besar terhadap akidah dan akhlak generasi masa kini, lebih-lebih lagi sebagai seorang bapa dan anggota masyarakat.
“Perbuatan seperti ini bukan sahaja jelas bercanggah dengan syariat Islam, bahkan menghina fitrah dan maruah insan yang diciptakan Allah dalam bentuk sebaik-baiknya,” tegas beliau.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Polis Kelantan, atas tindakan pantas dan berhemah dalam menangani isu tersebut.
“Tindakan tegas ini amat penting dalam membendung kegiatan yang bertentangan dengan nilai moral, agama dan undang-undang negara,” katanya.
Menurut beliau, perlakuan songsang seperti liwat dan musahaqah adalah kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri-negeri. Sebagai contoh, di bawah Seksyen 28 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, pesalah boleh dikenakan hukuman denda, sebatan dan penjara.
Namun begitu, Dato’ Na’im menegaskan bahawa usaha kerajaan bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi juga untuk membimbing dan menyelamatkan golongan terlibat agar kembali ke jalan yang benar.
Beliau berkata antara inisiatif utama yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) termasuk Kem Bimbingan Spiritual, kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan NGO, Pembangunan Manual Hijrah Diri, Mahrajan Komuniti Hijrah, Kem Ibadah Nusantara, dan Kelas Usrah Iqra’ serta Kelas Bimbingan Al-Quran dan Fardhu ‘Ain.
Inisiatif ini katanya bertujuan memberi pemulihan rohani dan psikososial, sokongan moral, kaunseling dan latihan kemahiran hidup dengan penekanan terhadap panduan pendekatan dakwah kepada golongan LGBT.
Mengulas lanjut beliau berkata inisiatif ini juga mendapat kerjasama antara agensi dan institusi Islam dalam membentuk komuniti hijrah yang celik agama.
Beliau memberi jaminan bahawa usaha pembimbingan ini akan terus diperkasa melalui sinergi antara kerajaan Persekutuan, agensi agama negeri, masjid dan institusi pendidikan.
“Kita mahu membina masyarakat yang bukan hanya bebas daripada kerosakan moral, tetapi juga kaya dengan kasih sayang, ilmu dan keinsafan,” jelas beliau.
Dato’ Na’im turut mengajak rakyat mendoakan agar Malaysia sentiasa dipelihara sebagai negara yang sejahtera, diberkati dan diredai Allah SWT.