KUALA LUMPUR, 10 Mac (IKIM) – Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memberikan bantuan kepada pihak polis dalam usaha mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui hanyut di sungai berdekatan Kampung Haji Abdullah Hukum, Jalan Bangsar, petang Ahad.
Menurut laporan, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada jam 4:39 petang.
Bertindak atas panggilan tersebut, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba dalam tempoh lima minit, pada jam 4:44 petang.

Operasi pencarian dilakukan dengan menetapkan dua checkpoint utama, iaitu yang pertama berhampiran Blok 100 PPR Seri Pantai dan checkpoint kedua dari Blok 100 PPR Seri Pantai hingga PPR Seri Cempaka.
Hasil operasi, mayat lelaki berkenaan berjaya ditemukan berhampiran Stesen KTMB Angkasapuri sebelum dibawa naik di kawasan berhampiran PPR Seri Pantai.
Identiti mangsa dikenal pasti sebagai bukan warganegara. Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seramai 19 anggota JBPM terlibat dalam operasi ini dengan bantuan dua jentera, iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti Urvan. Operasi diketuai oleh Komander Operasi PBK I KUP Ramli Bin Mohamad.
Operasi pencarian dan pemindahan mayat dikawal pada jam 5:31 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 6:49 petang. Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.