TEMERLOH, 30 Jan (IKIM) — Masjid Al-Hasan, Kampung Berhala Gantang, mencatat sejarah tersendiri apabila menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya dengan penganjuran Karnival Ambang Ramadan dan Akikah Perdana, yang berlangsung pada Jumaat dan kemuncak hari ini.

Masjid yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Hasanuddin Mohammad, seorang guru pondok terkenal di kampung berkenaan, kini sedang dalam pembinaan bangunan baharu hasil sumbangan pelbagai pihak berjumlah RM5 juta, selari dengan usia masjid yang menjangkau satu abad.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Hasan, Ustaz Haji Muhamad Hirman Haji Abd Khairi, karnival yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 10 malam itu dianjurkan bagi menyemarakkan syiar Islam, mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat serta menyambut ketibaan Ramadan dengan pengisian kerohanian dan kebajikan.

Beliau berkata program Akikah Perdana yang dilaksanakan dengan kerjasama EZ Qurban Sdn Bhd melibatkan penyembelihan tiga ekor lembu dan enam ekor kambing untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang karnival termasuk khatam al-Quran, kuliah dhuha bersama Maulana Wan Helmi Wan Mohamed Al Hafiz, persembahan lagu-lagu rakyat Pahang oleh Dato’ Aripin Said, aktiviti kanak-kanak, cabutan bertuah serta kuliah Maghrib.

Program itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi EZ Group, Ustaz Azhar Dato’ Ab Shukor; duta EZ Qurban Sdn Bhd, saudara Abon dan duta Yayasan EZ Prihatin, Ustaz Ghazali Ibrahim, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara institusi masjid dan masyarakat setempat.





