KUALA LUMPUR, 7 April 2026 (IKIM) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye serta memperhebat usaha diplomasi global bagi menangani konflik antarabangsa yang semakin meruncing.
Berucap pada Kuala Lumpur-Ankara Dialogue 2026 di Grand Hyatt Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata penganjuran dialog sulung itu menjadi manifestasi komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama pelbagai bidang.
Menurut beliau, dunia kini berdepan realiti getir susulan konflik di Asia Barat yang telah mengorbankan ribuan nyawa serta memusnahkan infrastruktur awam, sekali gus memberi kesan besar kepada kestabilan global.
“Usaha mencapai keamanan bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi turut memerlukan peranan komuniti diplomasi tidak rasmi seperti institusi pemikir yang mampu membuka ruang perbincangan lebih jujur dan mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kedaulatan negara, keselamatan sumber dan keupayaan pertahanan sendiri merupakan asas penting kelangsungan sesebuah negara, selain menambah keperluan kepada hubungan dua hala dan pelbagai hala yang kukuh.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap hakisan prinsip kedaulatan susulan tindakan ketenteraan tanpa sekatan yang disifatkan menggugat kestabilan antarabangsa.
Malaysia, katanya, menyokong pendekatan Türkiye yang memilih jalan diplomasi dan menahan diri daripada konflik, serta menghargai usaha negara lain seperti Pakistan, Oman dan Mesir dalam memudah cara rundingan damai.
“Diplomasi mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan. Dunia tidak lagi memerlukan gencatan senjata sementara, sebaliknya penyelesaian menyeluruh yang berteraskan undang-undang antarabangsa,” tegas beliau.
Mengulas kesan konflik terhadap ekonomi global, Anwar berkata ketegangan di rantau Teluk, khususnya di Selat Hormuz, berpotensi mengganggu bekalan tenaga dunia dan meningkatkan kos sara hidup.
Sehubungan itu, Malaysia akan terus mengambil langkah mengurus risiko ketidaktentuan bekalan tenaga serta mempercepat peralihan kepada sumber tenaga yang lebih mampan dan pelbagai.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kerjasama Malaysia-Türkiye tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina atas asas kepercayaan, hormat dan nilai bersama yang dipupuk sejak sekian lama.
Mengakhiri ucapan, Perdana Menteri menyeru semua pihak agar memilih jalan keamanan dan keadilan demi memastikan masa depan dunia yang lebih stabil.
“Keamanan tidak datang dengan sendiri. Ia perlu dibina dengan kesungguhan, keberanian dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan serta maruah insan,” katanya.




