MALAYSIA TEGUH BERSAMA PALESTIN, TPM SOKONG GLOBAL SUMUD FLOTILLA

SEPANG, 25 Sept (IKIM) – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Misi Global Sumud Flotilla 2025 dalam satu lawatan rasmi ke Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) yang beroperasi di gudang pusat MAPIM, Sepang, hari ini.

Lawatan tersebut memperteguh tekad delegasi Malaysia serta penggerak misi kemanusiaan itu, di samping memberikan keyakinan bahawa kerajaan sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin.

Ahmad Zahid turut melahirkan rasa kagum terhadap tahap profesionalisme serta keupayaan pengurusan misi besar ini yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Salam Malaysia (CSM).

Pusat operasi SNCC dilaporkan berfungsi 24 jam sehari bagi memantau pergerakan flotilla, selain memastikan penyampaian maklumat sahih serta kawalan naratif berita selari dengan objektif utama misi.

Dalam lawatan itu, beliau menerima taklimat perkembangan terkini daripada Ketua Pengarah SNCC, Dato’ Sani Araby sebelum berkesempatan menyapa kesemua 34 delegasi Malaysia melalui panggilan video secara langsung dari pusat operasi berkenaan.

Ahmad Zahid menegaskan kerajaan komited membantu keseluruhan delegasi negara dalam menghadapi cabaran sepanjang pelayaran flotilla ke Gaza, termasuk kemungkinan ditahan pihak zionis.

“Malaysia akan mengutamakan usaha koordinasi keselamatan bersama negara-negara berdekatan Palestin bagi memastikan semua peserta selamat dibawa pulang,” tegas beliau.

Misi Global Sumud Flotilla 2025 dijangka menjadi antara usaha terbesar peringkat antarabangsa membawa solidariti dan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

WhatsApp
Scroll to Top