MALAYSIA TEGAS SOKONG KEAMANAN GLOBAL, TOLAK NORMALISASI KETIDAKADILAN – PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (IKIM) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip keamanan, keadilan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang semakin meningkat.

Beliau berkata konflik yang berlaku di beberapa wilayah dunia ketika ini bukan sahaja menyebabkan kemusnahan dan kehilangan nyawa, malah memberi kesan besar terhadap kestabilan geopolitik dan ekonomi global.

Menurutnya, peperangan dan konflik berpanjangan telah mengakibatkan penderitaan besar kepada orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, di samping menyebabkan perpindahan penduduk serta kerosakan terhadap bandar dan infrastruktur penting.

“Apabila keadaan sebegini berlarutan, ia meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat, khususnya generasi muda yang berisiko membesar dalam suasana trauma, ketidakpastian dan kehilangan harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 9 yang membincangkan strategi Malaysia dan ASEAN dalam menghadapi era ketidakstabilan global.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa konflik di sesuatu rantau jarang kekal terhad kepada kawasan tersebut sahaja, malah berpotensi mencetuskan gangguan terhadap pasaran tenaga global dan laluan perdagangan utama dunia.

Menurut beliau, gangguan terhadap rantaian bekalan, peningkatan harga tenaga serta tekanan fiskal akibat konflik akan memberi kesan langsung kepada ekonomi global, khususnya negara-negara sedang membangun yang bergantung kepada perdagangan terbuka dan pasaran yang stabil.

Sehubungan itu, Malaysia mengambil pendirian berprinsip untuk menyeru kepada pengekangan ketegangan, pengurangan konflik serta pengukuhan usaha diplomasi bagi mencari penyelesaian damai.

“Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui dialog, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta komitmen tulen untuk melindungi maruah dan kehidupan manusia,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh menerima normalisasi ketidakadilan kerana sikap berdiam diri terhadap ketidakadilan di satu wilayah berisiko melemahkan prinsip keamanan global secara keseluruhan.

Dalam forum tersebut, Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran ahli ekonomi terkenal dunia, Jeffrey Sachs yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang pembangunan mampan, pembasmian kemiskinan serta perumusan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).

Beliau berkata cabaran global masa kini memerlukan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh kerana banyak isu seperti pembangunan, perubahan ekonomi dan kestabilan geopolitik tidak dapat diselesaikan oleh sesebuah negara secara bersendirian.

Menurutnya, keamanan yang berkekalan tidak boleh dicapai melalui kekuatan kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan keadilan, rasa hormat antara negara serta komitmen terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

“Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip-prinsip ini,” katanya.

Sumber foto: https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial

WhatsApp
Scroll to Top