MALAYSIA CADANG PELAN KOMPREHENSIF BANTU GAZA

KUALA LUMPUR, 23 April (IKIM) – Komited untuk membantu pembinaan semula Gaza, empat resolusi merangkumi pendidikan, kesihatan, kesepaduan sosial dan dasar tadbir urus dibincangkan bersama pemimpin dari pelbagai sektor di badan pemikir International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) pada Selasa (22 April).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam ucapan penutupan berkata, Malaysia memainkan peranan sebagai sebuah kuasa normatif, iaitu mempengaruhi melalui kekuatan autoriti moral, bantuan kemanusiaan dan diplomasi berprinsip.

“Inisiatif ini mencerminkan contoh terbaik penglibatan strategik masyarakat sivil dan merapatkan jurang antara dasar dan prinsip, keilmuan dan khidmat institusi dan komuniti yang sepatutnya mereka berkhidmat,” ujar Zulkifli.

Dalam aspek pendidikan, inisiatif yang dicadangkan menekankan pembelajaran atas talian, termasuk pelaksanaan bilik darjah mudah alih yang disokong oleh infrastruktur digital universiti-universiti Malaysia. 

Cadangan itu turut meliputi penubuhan Dana Pendidikan Lestari untuk membiayai Hab Pendidikan Digital Malaysia–Gaza dengan sokongan pelbagai institusi seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan wakaf. 

Selain itu, sebuah jawatankuasa peringkat antarabangsa akan ditubuhkan bagi menyelaras strategi pendidikan jangka panjang selari dengan keperluan rakyat Palestin.

Bagi bidang kesihatan, Malaysia mencadangkan tiga intervensi utama: penubuhan sebuah sekretariat kebangsaan untuk menyelaras penghantaran bantuan perubatan; pemberian biasiswa kepada pelajar Gaza dalam bidang rawatan trauma dan pensijilan juruteknik perubatan kecemasan dengan kerjasama universiti Malaysia; serta pelaksanaan perkhidmatan kesihatan bergerak menerusi pembinaan hab kesihatan serantau dan hospital modular.

Dalam usaha memperkukuh kesepaduan sosial di Gaza, resolusi yang dikemukakan melibatkan penggerakan pasukan sokongan psiko-sosial khusus untuk wanita dan kanak-kanak; pelaksanaan kempen advokasi digital untuk belia termasuk usaha membanteras maklumat palsu; serta pemulihan ruang komuniti seperti sekolah, masjid, dan pusat belia melalui kerjasama dengan NGO Palestin.

Sementara itu bagi memperkukuh tadbir urus di Gaza, pembentukan Pakatan Selatan Global yang melibatkan negara-negara seperti Indonesia, Brazil dan China, untuk menyelaras tekanan diplomatik ke atas Israel juga dicadangkan.

Perbincangan itu juga menyeru kepada penguatkuasaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan hak rakyat Palestin serta memperhebat kerjasama kemanusiaan, politik dan undang-undang bersama Qatar, Turki dan Indonesia.

Memahami kepentingan dialog antarabangsa, Pengerusi IAIS, Dr. Maszlee Malik juga menerangkan bahawa IAIS telah bekerjasama dengan Center for International Policy Research (CIPR) Qatar untuk mempergiat langkah-langkah strategik membantu Gaza di peringkat kebangsaan.

Bertemakan “Menuju Keamanan Mampan di Gaza,” perbincangan meja bulat yang dianjurkan bersama Akademi Profesor Malaysia itu menghimpunkan pemimpin dari pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, pembuat dasar, pemimpin organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pegawai tinggi kerajaan semalam.

Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top