KUALA LUMPUR, 1 April (IKIM) – Malaysia dan Arab Saudi terus memperkukuh kerjasama strategik dalam pengurusan haji dan umrah menerusi pelbagai inisiatif serta perbincangan dua hala yang berlangsung sepanjang lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ke negara itu.
Menurut beliau, lawatan tersebut merangkumi penyertaan dalam Forum Umrah and Ziarah di Madinah serta pemantauan persiapan musim haji oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Katanya, persiapan bagi menghadapi musim haji tahun ini berjalan lancar dengan pelbagai penambahbaikan dilaksanakan, termasuk dari aspek infrastruktur, logistik dan penginapan jemaah di Mekah.
“Walaupun berada pada tahap membanggakan, TH terus meningkatkan mutu perkhidmatan, kemudahan dan bimbingan bagi memastikan keselesaan jemaah,” katanya.

Tambah beliau, antara inisiatif baharu yang bakal diperkenalkan ialah projek ‘green haj’ yang memberi penekanan terhadap aspek kelestarian alam sekitar dalam pengurusan ibadah haji.
Dalam rangka lawatan itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Muslim World League, Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa bagi memperkukuh kerjasama global serta membincangkan hala tuju pembangunan ummah di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, perbincangan tersebut membuka ruang kepada pertukaran idea dan penyelesaian berkaitan masa depan Islam, termasuk di rantau Asia Tenggara.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa satu persidangan antarabangsa akan diadakan pada Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menghimpunkan ulama dan pemimpin agama dari seluruh dunia menerusi kerjasama antara Muslim World League dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sepanjang lawatan, Dr Zulkifli turut menghadiri sesi bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah serta menteri-menteri agama dari pelbagai negara, yang disifatkannya sebagai platform penting untuk berkongsi pengalaman dan memperkukuh ukhuwah.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai antara contoh terbaik dalam pengurusan haji dunia, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada jemaah.
Kredit foto: www.zulkiflihasan.com




