Putrajaya, 7 Nov (IKIM) – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sekali lagi mengadakan program Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Palestin dan Lubnan di Surau Istiqamah, Presint 18 R8, Putrajaya hari ini.
Acara yang bermula pada jam 7 malam itu termasuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah, bacaan Yaasin serta solat hajat khusus untuk mendoakan kejayaan misi Perdana Menteri Malaysia di Riyadh dalam usaha menghentikan kekejaman Zionis terhadap Palestin ini berlangsung dengan penuh khusyuk hingga selesai dan turut disertai oleh surau-surau sekitar Putrajaya secara serentak.
Program ini akan diteruskan pada setiap hari Khamis malam Jumaat bertujuan menghimpunkan ribuan rakyat Malaysia dalam mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam dan bersama-sama bersolat hajat memohon pertolongan Allah SWT bagi menyokong saudara Islam yang ditindas diberikan perlindungan dan kemenangan.
Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Geng Surau Putrajaya, dan Surau Istiqamah.
Kehadiran ramai jemaah di surau dan masjid-masjid sekitar Putrajaya menunjukkan solidariti dan keprihatinan umat Islam terhadap nasib yang sedang menimpa saudara-saudara Islam di Palestin dan Lubnan.
Semoga doa-doa yang dipanjatkan diterima Allah dan memberi kekuatan kepada mereka yang terlibat dalam perjuangan membela nasib umat Islam di kedua-dua negara tersebut.