MAIWP PERUNTUK LEBIH RM20.1 JUTA BANTUAN BACK TO SCHOOL SESI 2026

KUALA LUMPUR, 15 Dis (IKIM) — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM20.12 juta bagi Bantuan Pakaian dan Peralatan Persekolahan Back To School sesi persekolahan 2026, melibatkan 36,330 orang pelajar asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, bantuan itu merupakan komitmen berterusan MAIWP dalam meringankan beban kewangan ibu bapa penerima zakat, khususnya menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

Menurut beliau, pengagihan bantuan turut ditambah baik menerusi kaedah tebus tanpa tunai menggunakan dompet elektronik, membolehkan ibu bapa dan pelajar memilih sendiri keperluan persekolahan di outlet terpilih berhampiran.

Mohd Na’im berkata penebusan bantuan melalui aplikasi BOOST boleh mula dilakukan bermula 22 haribulan, selaras dengan pelaksanaan bantuan bagi sesi 2026.

Dalam ucapannya, Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa pada tahun 2025, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM26.72 juta dana zakat kepada 37,894 orang pelajar di bawah Bantuan Back To School, manakala RM413,000 disalurkan bagi Bantuan Biasiswa Sekolah kepada 260 orang pelajar.

Beliau menegaskan komitmen MAIWP dalam memastikan anak-anak asnaf tidak terpinggir daripada akses pendidikan, dengan jumlah RM111.12 juta dana zakat telah diagihkan sehingga November 2025 bagi skim bantuan pendidikan, bermula dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi.

Pada akhir majlis, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang terlibat serta menyeru para pelajar agar terus berusaha gigih, menjaga sahsiah diri dan memanfaatkan peluang pendidikan demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Turut hadir majlis Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Bin Haji Yahya dan Pengarah Urusan, MYDIN Mohamed Holdings Berhad, Dato’ Wira Haji Ameer Ali Mydin.

WhatsApp
Scroll to Top