Serdang, 3 Dis (IKIM) — Penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dijangka berlangsung lebih meriah dan berimpak tinggi dengan sasaran menarik 4 juta pengunjung, selain memperkukuh sektor agromakanan negara melalui pelbagai pendekatan inovatif.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, berkata MAHA 2026 serta program Road to MAHA akan menampilkan elemen selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI, termasuk menonjolkan daya cipta melalui aktiviti inovatif dan interaktif.

“MAHA bukan sekadar pameran, tetapi sebuah platform strategik untuk menggerakkan ekosistem agromakanan negara ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di sini.
Menurut Mohamad Sabu, Bajet 2026 yang diumumkan Perdana Menteri memperlihatkan komitmen jelas kerajaan dalam memacu agenda keterjaminan makanan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima RM6.87 bilion, meningkat 7% berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata kejayaan penyasaran semula subsidi turut membantu menjimatkan perbelanjaan negara, sekaligus membolehkan sumber diagihkan secara lebih bersasar dan berkesan.
Mengulas dapatan Banci Pertanian 2024, beliau berkata 45% penggiat pertanian adalah mereka berusia 60 tahun ke atas, manakala hanya 3% terdiri daripada golongan muda.

“Jurang generasi ini memerlukan perhatian segera. MAHA 2026 akan menjadi platform penting untuk menarik minat anak muda agar terlibat dalam sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata MAHA 2024 mencatatkan pencapaian luar biasa dengan 5.5 juta pengunjung, nilai jualan RM48.5 juta, serta 81 MoU dan MoA berjumlah RM7.2 bilion.

Sementara itu Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, berkata Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 menjadi pencetus gelombang baharu dengan pelbagai pengisian termasuk pelancaran laman web Mikro MAHA 2026, tayangan 3D Laser Projection, pengenalan maskot, tayangan video Throwback MAHA serta persembahan kebudayaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa MAHA 2026 akan menampilkan antara tarikan utama MAHA 2026 termasuk Pavilion Negeri, pameran teknologi tempatan dan antarabangsa, persembahan laser dan air, agro safari serta pelbagai segmen interaktif yang menampilkan teknologi pertanian moden justeru pengunjung akan menikmati pengalaman lebih menarik dan berimpak tinggi sepanjang penganjuran tersebut.

Mohamad Sabu turut mengumumkan bahawa MAHA 2026 akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”
Tema ini katanya selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas dalam memperkasa seluruh rantaian ekosistem agromakanan negara.

Mengakhiri ucapan, Mohamad Sabu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis pra pelancaran dan menyeru agar momentum itu dikekalkan sehingga penganjuran MAHA 2026.
Turut hadir majlis ini Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani merangkap Pengerusi Bersama Sekretariat MAHA2026, Datuk Dr. Mohd Haniff bin Hassan.





