Kuala Lumpur, 17 Jun 2025 — Kutipan zakat di Wilayah Persekutuan terus mencatatkan peningkatan memberangsangkan apabila jumlah kutipan melalui ejen yang dilantik oleh Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencapai RM74.3 juta bagi tahun 2024, meningkat sebanyak 17.4% berbanding RM63.2 juta pada tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP hari ini menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil daripada kerjasama erat, kecekapan sistem, serta komitmen tinggi para ejen.

“Ini bukan sahaja mencerminkan komitmen tuan-tuan dan puan-puan, bahkan menunjukkan bahawa kehadiran PPZ-MAIWP melalui saluran ejen semakin diyakini oleh para pembayar zakat,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab ejen bukan sekadar mengutip zakat, sebaliknya membawa amanah besar terhadap organisasi, masyarakat dan lebih utama terhadap Allah SWT.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 16 ejen kutipan terbaik dalam enam kategori utama termasuk Anugerah Kaunter Universiti Terbaik, Saluran Offline Terbaik, Potongan Gaji Terbaik, Platform Digital Terbaik, Bank Terbaik serta Anugerah Khas Mu‘adz bin Jabal.
Mohd Na’im turut mengangkat kisah Mu‘adz bin Jabal r.a. sebagai inspirasi, menekankan pentingnya integriti dalam pengurusan zakat sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat Nabi SAW itu dalam melaksanakan amanah di Yaman.

Beliau berkata selain kutipan zakat, PPZ-MAIWP juga dipertanggungjawabkan dalam kutipan wakaf di Wilayah Persekutuan dan menyeru lebih ramai ejen tampil menyertai usaha ini sebagai satu lagi bentuk ibadah yang tinggi nilainya.
“Saya dimaklumkan beberapa ejen telah menaik taraf fungsi mereka sebagai ejen kutipan wakaf. Ini adalah perkembangan yang amat membanggakan,” katanya.

Majlis tersebut dilihat sebagai suntikan semangat kepada ejen untuk terus berkhidmat dengan penuh profesionalisme dan integriti demi manfaat ummah.