PM rasmi Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia

Putrajaya, 15 Julai (IKIM) – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutusan (JAPENSWP) julung kalinya menganjurkan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia bertempat di Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya hari ini.

Konvensyen ini bertujuan menjelaskan pelan dan perancangan proses pemurnian dan pengharmonian undang-undang Syariah-Sivil di semua peringkat; memperkukuh kefahaman dan memperkasa tindakan dalam usaha-usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman Syariah secara kolektif dalam kerangka Perlembagaan Persekututan; serta membuka ruang dan wadah dialog terbuka, profesional dan membina ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia secara komprehensif dan menyeluruh.

Konvensyen ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan tiga panel pembentang iaitu Ramzi Osman, Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara dengan tajuk “Mendasari Pengharmonian Syariah-Sivil ke Arah Pemartabatan Undang-undang Syariah di Malaysia”; Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail, Pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Felow Kehormat IKIM dengan tajuk “Kepentingan Menghemat Penelitian Terhadap Peruntukan Undang-undang Syariah di Malaysia“; dan Ahmad Hanir bin Hambaly, Ketua Unit Perlembagaan dan Undang-undang Pentadbiran, Jabatan Peguam Negara dengan tajuk “Pertikaian Terhadap Peruntukan Undang-undang Syariah: Analisis Terhadap Perkembangan Terkini di Malaysia”.

Konvensyen ini berakhir dengan Pembentangan Resolusi disampaikan oleh Dr. Muhamad Razak Idris, Pengarah Program menekankan enam perkara iaitu:

  1. Program pencerdasan dan penerangan kefahaman Syariah yang menyeluruh merupakan satu keperluan untuk menggerakkan usaha-usaha dan program bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah;
  2. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dilakukan secara teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak iaitu Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan pakar undang-undang antarabangsa;
  3. Menyambut baik gesaan terhadap seruan dan cadangan pewujudan Akta Saraan Hakim-hakim Syarie;
  4. Pengharmonian undang-undang dengan melihat kepada isu-isu pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil; dan
  5. Konvensyen menyeru supaya langkah segera bagi pengaktifan Jawatankuasa sedia ada dan mekanisme yang sesuai bagi menggerakkan usaha serta meneliti isu-isu berbangkit ke arah memartabatkan  perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia.

Konvensyen ini berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan dihadiri kira-kira seramai 1,000 orang peserta.

Disediakan oleh: Dr. Mohammad Hariz Shah bin Mohammad Hazim Shah, Ketua Jurulapor, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Scroll to Top