KNKV GROUP UMUM KERJASAMA STRATEGIK SEBAGAI TIKTOK AFFILIATE PARTNER, SASAR RM100 JUTA JUALAN TAMBAHAN

KUALA LUMPUR, 4 Dis (IKIM) – KNKV Group Sdn. Bhd hari ini mengumumkan kerjasama rasmi bersama barisan rakan strategik sebagai TikTok Affiliate Partner, sekali gus membuka ruang baharu dalam mempercepatkan pertumbuhan digital dan pengiklanan berasaskan data di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof. (Adj.) Hj Adam Richman dalam sidang media, landskap pemasaran kini menuntut pendekatan lebih strategik, berfokus kepada penciptaan jualan yang konsisten, terukur dan berskala besar.

Turut hadir sidang media Patron Muslim Insiders Chamber of Commerce, Datuk Seri Hajah Dr. Zurainah Musa; Pengasas Dynads Academy, Aziz MK dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Droplets of Mercy Malaysia.

Adam berkata berdasarkan analisis dalaman termasuk prestasi beberapa jenama yang berjaya mencatatkan jualan ratusan ribu ringgit sebulan di TikTok Shop, kejayaan tersebut berpunca daripada penguasaan menyeluruh terhadap ekosistem TikTok.

Beliau menjelaskan, penghasilan UGC, penggunaan micro influencers, pengaktifan TikTok Live setiap hari, serta penciptaan AI-powered content secara besar-besaran telah membentuk apa yang dinamakan sebagai TikTok Interdependent Advertising Strategy, iaitu ekosistem pengiklanan yang saling menyokong dan menggandakan impak.

Adam turut menegaskan bahawa KNKV Group komited membantu jenama menguasai keseluruhan ekosistem TikTok, daripada strategi UGC, kolaborasi micro influencers, hinggalah AI video conversion bagi menukar pendedahan kepada jualan sebenar.

Katanya sasaran RM100 juta jualan tambahan disifatkan sebagai refleksi potensi sebenar apabila creator, data dan pengiklanan digerakkan secara serentak.

Melalui modul Affiliate Coaching dan strategi bulanan, KNKV Group turut menawarkan jaminan KPI kepada klien, dan akan meneruskan usaha tanpa caj tambahan sekiranya sasaran tidak dicapai.

Kerjasama ini turut melibatkan rakan strategik Business War 2026 iaitu Muslim Insiders Chamber of Commerce, CTOS Data Systems, Dynads Academy, Droplets of Mercy Malaysia, serta Universiti Malaysia Kelantan.

Adam berkata gabungan kepakaran industri, akademia dan komuniti ini dijangka memperkukuh daya saing digital negara.

“Ekosistem digital hanya mampu berkembang melalui kolaborasi pelbagai pihak. Kami menghargai sokongan semua rakan strategik dalam usaha memperkasa perniagaan dan naratif digital Malaysia,” katanya.

Sementara itu Zurainah,menegaskan bahawa pengiklanan semata-mata tidak lagi memadai dalam dunia digital hari ini tanpa sokongan kepintaran data dan teknologi AI.

“Di sinilah peranan rakan strategik, CTOS Data Systems, menjadi pelengkap penting melalui analitik data, predictive intelligence dan AI decisioning yang membantu syarikat membuat keputusan lebih cepat, tepat dan berasaskan data sebenar, bukan andaian”, katanya.

Tambah Zurainah, integrasi antara pengiklanan, algoritma dan data intelligence inilah yang membentuk ekosistem pertumbuhan perniagaan yang lebih selamat dan berkesan.

Beliau berkata Business War 2026 yang dianjurkan bukan sekadar forum, tetapi sebuah simulasi pertempuran strategi dunia sebenar yang direka untuk melatih usahawan menguasai trafik, membina naratif, menarik pengguna dan akhirnya memenangi jualan dalam pasaran digital yang kompetitif.

WhatsApp
Scroll to Top