KES KEBAKARAN TERBUKA NAIK 300 PERATUS, JBPM TINGKAT KESIAPSIAGAAN

PUTRAJAYA, 27 Jan (IKIM) — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lonjakan ketara kes kebakaran terbuka di seluruh negara dengan 2,917 kes dilaporkan bagi tempoh 1 hingga 27 Januari 2026, meningkat hampir 300 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, kebakaran melibatkan kawasan seluas 328 hektar, dengan 287 hektar berjaya dipadamkan manakala baki 41 hektar masih dalam tindakan pemadaman oleh pasukan bomba.

Statistik JBPM menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 729 kes pada 2025 melibatkan keluasan 11.19 hektar serta 66 kes pada 2024 dengan keluasan 55.03 hektar bagi tempoh sama.

Kebakaran di kawasan belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama dengan 2,187 kes atau 75 peratus daripada keseluruhan kejadian, diikuti kebakaran di tapak pelupusan sampah haram yang mencatatkan 431 kes setakat 27 Januari lalu.

Menurut JBPM, keadaan cuaca panas, kering dan berangin yang dijangka berterusan sehingga akhir Januari berdasarkan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berpotensi meningkatkan risiko kemerebakan kebakaran terbuka, khususnya di kawasan belukar dan tapak pelupusan sampah haram.

Setakat ini, kebakaran terbuka aktif dilaporkan di Johor melibatkan kawasan seluas 196.5 hektar di Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Desa Selatan Kampung Lepau serta Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tuatau, Bandar Penawar, dengan operasi pemadaman sedang giat dijalankan.

JBPM menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa mematuhi peraturan keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa, harta benda dan alam sekitar.

Sumber foto: JBPM

WhatsApp
Scroll to Top