KERAJAAN BERJAYA KETEPIKAN PERINTAH PENGEMBALIAN TANAH KEPADA SEMANTAN ESTATE

PUTRAJAYA, 24 Jun — Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan tanah seluasĀ 263.272 ekar (106.542 hektar), yang dikenali sebagai enklaf duta, dipulangkan kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara membenarkan rayuan itu.

Hakim Lee memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 tidak pernah mengarahkan kerajaan Malaysia menyerahkan tanah itu kepada Semantan Estate.

“Justeru, tiada sebarang perintah yang perlu dilaksanakan. Jika tiada perintah pemindahan tanah kepada Semantan Estate, perintah untuk pengisytiharan tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia hanya pengisytiharan hak pihak-pihak terlibat,” katanya.

Hakim Lee yang menyampaikan keputusan mahkamah itu bagaimanapun, memutuskan bahawa Semantan Estate berhak mendapat pampasan secukupnya, yang akan dinilai dari 1956, iaitu ketika kerajaan mengambil alih tanah terbabit.

Syarikat itu katanya, juga berhak menuntut keuntungan mesne yang akan terus terakru sehingga kerajaan selesai menjelaskan pampasan sepenuhnya. Jumlah keuntungan mesne yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi tidak akan dibayar lagi setelah pembayaran penuh pampasan dibuat.

Sumber: BERNAMA. Gambar: Utusan Malaysia

WhatsApp
Scroll to Top