KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN: KERAJAAN TELITI KESAN TERHADAP INSTITUSI FATWA – MENTERI AGAMA

PUTRAJAYA, 19 Jun 2025 (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar hari ini menyatakan bahawa kerajaan mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam cabaran terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014.

Menurut beliau, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam negara perlu dihormati, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa fatwa masih memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam terutama dalam menangani isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah.

Jelasnya, kerjasama antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama perlu diperkukuh agar fungsi dan kewibawaan institusi fatwa terus dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara.

“Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Dr. Mohd Na’im turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.

WhatsApp
Scroll to Top