MAPIM DAN ZUS COFFEE LANCARKAN KEMPEN 1,000,000 PENYOKONG DAN CAWAN EDISI KHAS GAZA

Bangi, 15 Ogos (IKIM) – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan Kerjasama ZUS Coffee melancarkan Kempen 1,000,000 Penyokong & Sleeve Cawan Edisi Khas Gaza di Bangi Convention Centre pada Khamis (15 Ogos).

Majlis ini bertujuan mengumpulkan sokongan untuk rakyat Gaza dengan memperkenalkan produk edisi khas ke arah kesedaran dan sokongan Malaysia pada perjuangan Palestin merdeka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby Al Kahery, pelancaran kempen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MAPIM bagi menyediakan bantuan kemanusiaan dan solidariti kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat genosid berterusan.

“MAPIM bersinergi bersama ZUS Coffee dalam usaha murni ini. Melalui kempen ini, kami berharap dapat mencapai satu juta penyokong yang bersedia menyumbang dan membuat perubahan dalam kehidupan rakyat Gaza.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian menekankan bahawa kempen ini adalah inisiatif dan bukti komitmen pihak Zus Coffee kepada keadilan kemanusiaan sejagat, melangkaui batas sempadan negara.

Terdahulu  pihak ZUS Coffee dengan bantuan pihak MAPIM telah menyalurkan bantuan air bersih sebanyak 120,000 liter menggunakan lori tangki dan bantuan makanan panas sebanyak 1,250 pek ke tiga kawasan yang terkesan teruk akibat peperangan termasuk Bandar Gaza, Deir Al Balah, dan Khan Younis.

Pada majlis ini juga pihak Zus Coffee memperkenalkan ‘sleeve’ cawan bertema Gaza edisi khas yang akan disertakan pada setiap pembelian kopi di outlet mereka di seluruh negara.

Pengguna aplikasi mobil ZUS juga akan dapat menyumbang menerusi fitur sumbangan di dalam aplikasi tersebut dan hasil sumbangan akan disalurkan kepada usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.

Kempen 1,000,000 Penyokong & Sleeve Cawan Edisi Khas Gaza MAPIM & ZUS COFFEE ini menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menunjukkan solidariti mereka secara langsung melalui pemberian sleeve cawan edisi khas dan menyebarkan kesedaran tentang situasi di Gaza.

Para penyokong digalakkan untuk berkongsi maklumat tentang kempen ini di platform media sosial mereka dan mengajak lebih ramai orang untuk menyertai usaha ini.

WhatsApp
Scroll to Top