PUTRAJAYA, 27 Mei – Kerajaan mengenakan Perintah Larangan ke atas tujuh judul penerbitan buku berikutan dikhuatiri memudaratkan kemoralan dan ketenteraman awam.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Perintah Larangan itu diwartakan melalui Warta Kerajaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa 15, 16 dan 17 April 2025.
Tujuh judul buku itu ialah Love, Theoretically oleh Ali Hazelwood, Tuan Ziyad: Forbidden Love oleh Bellesa, Darlingku Mr. Cold Mafia oleh Nur Firsha Nadia Mohd Noor Kusairi (ShaDhia), Mischievous Killer oleh Aira Syuhairah Noradzan (Ariaseva), Suhuf Abraham dan Kougar 2 oleh Shaz Johar dan The American Roommate Experiment oleh Elena Armas.
“Perintah Larangan bawah Akta 301 ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku. Pada masa sama, masyarakat turut memperoleh pendedahan dan kesedaran mengenai hasil penerbitan yang tidak diingini serta tidak sesuai untuk bacaan umum,” menurut KDN.
Menurut kenyataan itu sebagaimana peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan, khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia.
Sumber: BERNAMA