KUALA LUMPUR, 17 Nov (IKIM) – Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ke-4 (KHUP4) anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Persatuan Syarikat Pengendali Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) akan berlangsung dari 28 hingga 30 November 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang.
Karnival yang memasuki edisi keempat itu menjadi platform utama kepada bakal jemaah haji 1447H/2026M untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan perkhidmatan serta pakej haji yang disediakan oleh 34 agensi pelancongan berlesen yang dilantik TH sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Selain maklumat pakej, pengunjung turut berpeluang mendapatkan penjelasan terus mengenai garis panduan serta peraturan baharu yang ditetapkan oleh TH dan Kerajaan Arab Saudi bagi persiapan menunaikan ibadah haji tahun depan.
Ketua Jabatan Haji TH, Haji Mohd Hisham Harun berkata penganjuran KHUP4 merupakan usaha TH memastikan bakal jemaah haji mempersiapkan diri lebih awal dengan maklumat yang tepat dan sahih.
“KHUP4 bukan sahaja medan untuk bakal jemaah memilih pakej haji, tetapi lebih penting, ia ruang untuk mereka memahami proses, ketetapan serta penambahbaikan baharu yang dilaksanakan demi kebajikan jemaah di Tanah Suci.
Tahun 2026 dijangka melibatkan beberapa penambahbaikan dari aspek pengurusan, kesihatan dan pergerakan jemaah, dan kerana itu persediaan awal amat penting,” katanya.

Mohd Hisham turut menggalakkan bakal jemaah hadir bersama keluarga supaya semua dapat memahami perjalanan ibadah haji dengan lebih menyeluruh.
Karnival kali ini turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti simulasi haji cilik, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan kumpulan nasyid Raihan, Inteam dan Mawi, penampilan karakter Omar & Hana, sesi bual bicara serta rakaman Podcast TH Ke Udara.

Turut disediakan ialah Bazar Karnival yang menawarkan pelbagai produk dan makanan Muslim.
KHUP4 dijangka menarik ribuan pengunjung dan berfungsi sebagai medium pendidikan masyarakat dalam mendalami ibadah haji daripada aspek ilmu, kesihatan dan spiritual.




