JPM (HAL EHWAL AGAMA) SOKONG TITAH SULTAN SELANGOR PERKUKUH PERPADUAN UMMAH

KUALA LUMPUR, 20 Mac (IKIM) –  Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru umat Islam memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan ummah sempena sambutan Aidilfitri.

Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah baginda yang mengajak umat Islam mensyukuri nikmat Aidilfitri di samping mempererat ukhuwah dalam masyarakat.

Menurut beliau, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap peringatan baginda berhubung perkembangan global yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan ummah.

“Sehubungan itu, rakyat diseru supaya sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah serta merancang kewangan secara bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh rakyat mengambil semangat Ramadan dan Aidilfitri tahun ini untuk terus memelihara kesatuan, mengelakkan perbalahan serta memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memakmurkan negara.

Kenyataan itu menegaskan kepentingan perpaduan sebagai asas kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat, selari dengan titah Sultan Selangor demi kesejahteraan ummah secara menyeluruh.

WhatsApp
Scroll to Top