JPM HAL EHWAL AGAMA JALIN KERJASAMA GLOBAL BERSAMA MUSLIM WORLD LEAGUE DALAM MISI PERKUKUH UKHUWAH

KUALA LUMPUR, 30 Mac (IKIM) – Usaha memperkukuh ukhuwah dan kerjasama global umat Islam terus diperkasa apabila Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memenuhi undangan Setiausaha Agung Muslim World League, Mohammad Abdul Karim Al-Issa bagi membuka ruang jaringan strategik di peringkat antarabangsa.

Pertemuan tersebut bukan sekadar kunjungan rasmi, sebaliknya menjadi platform penting membincangkan idea, solusi dan hala tuju masa depan Islam, khususnya di rantau Asia Tenggara serta di peringkat global.

Dalam pertemuan itu, Al-Issa turut menyatakan kekaguman beliau terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai seorang mufakkir, intelektual dan tokoh pemikir Islam yang berpengaruh.

Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zukifli Hasan di laman sosial Facebook, perbincangan yang berlangsung menekankan kepentingan membina masyarakat berilmu, memperkukuh ukhuwah serta mempersiapkan umat Islam untuk memainkan peranan aktif dalam arus perubahan dunia.

Beliau berkata sebagai langkah susulan, satu persidangan antarabangsa dijangka berlangsung pada Jun 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, menghimpunkan alim ulama serta pimpinan agama dari seluruh dunia.

Program berkenaan akan dianjurkan oleh Muslim World League dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Inisiatif ini katanya dilihat sebagai bukti bahawa Islam kekal dinamik, relevan dan mampu bergerak seiring dengan perkembangan semasa, sekali gus memperkukuh peranan umat Islam di pentas antarabangsa.

Umat Islam diseru untuk terus memperkasa ilmu, memupuk perpaduan dan bersama-sama menyumbang ke arah usaha islah demi masa depan ummah yang lebih gemilang.

WhatsApp
Scroll to Top