JENAMA MALAYSIA BERISIKO HILANG NILAI BILION RINGGIT TANPA FOKUS STRATEGIK

Kuala Lumpur, 14 Ogos (IKIM) – Jenama-jenama di Malaysia berdepan risiko kehilangan nilai berbilion ringgit sekiranya terus beroperasi dengan strategi jangka pendek tanpa memberi perhatian kepada pembangunan jenama berasaskan data dan berfokus jangka panjang.

Menurut laporan Interbrand 2024, jenama di seluruh dunia telah kehilangan nilai belum direalisasi berjumlah USD200 bilion (RM947 bilion) dalam tempoh dua tahun lalu akibat kelemahan strategi dan kurang fokus terhadap kelestarian jenama.

Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025 dengan skor 46.1 turut berhadapan cabaran sama.

Bagi membincangkan isu tersebut, CTOS Data Systems, KNKV Group dan Muslim Insiders Chamber of Commerce menganjurkan National CEO Forum 2025 (NCF2025) hari ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Forum tertutup itu menghimpunkan 200 ketua pegawai eksekutif (CEO), pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pembuat dasar untuk membincangkan tema Brand Growth and Focus 2026.

Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems, Lee Shin Mei berkata, ekuiti jenama adalah aset perniagaan yang nilainya boleh berubah dengan pantas bergantung kepada pasaran.

“Peranan CTOS adalah membantu pemimpin perniagaan mendapatkan kecerdasan data dan pandangan pasaran yang tepat untuk melindungi dan mengembangkan nilai jenama mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof. Adj. Hj Adam Richman menegaskan forum berprestij itu menjadi peluang kepada syarikat tempatan untuk memperkukuh kedudukan dan dominasi pasaran menjelang 2026.

NCF2025 yang dianjurkan oleh Muslim Insider Chamber of Commerce bersama KNKV Group sebagai penganjur bersama turut disokong oleh CTOS Data Systems selaku Due Diligence Partner, SIRIM QAS International sebagai Innovation Partner, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Strategic Partner, serta firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai Legal Partner.

Turut hadir sebagai panel forum Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr Zurainah Musa.

KNKV Group Sdn. Bhd. dalam kenyataan turut menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan strategik kepada jenama-jenama tempatan dalam melonjakkan kandungan kreatif ke tahap baharu melalui strategi eksklusif yang mampu membina hubungan pelanggan lebih kukuh dan berimpak tinggi.

WhatsApp
Scroll to Top