JEMAAH HAJI MALAYSIA MENINGGAL DUNIA DI MAKKAH, DISAHKAN SERANGAN JANTUNG

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

MAKKAH, 20 Mei 2025 (IKIM) – Seorang jemaah haji Malaysia dari Tawau, Sabah telah kembali ke rahmatullah pagi ini di Tanah Suci Makkah akibat serangan jantung.

Allahyarham Aripin @ Ariffin bin Jawah @ Ab Halim, jemaah dari kumpulan KT058, Maktab 90A, disahkan meninggal dunia pada 7.30 pagi waktu Makkah di pusat rawatan Rehab Al-Janadiriyyah.

Perkara itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Pemergian ini adalah satu kehilangan besar, namun kita yakin Allahyarham dipanggil dalam keadaan yang sangat mulia sebagai tetamu Allah di Tanah Suci-Nya,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Allahyarham ditemani isterinya, Norasiah Imam Isnin sepanjang perjalanan haji kali ini.

Menurut Mohd Na’im, pihak Tabung Haji akan menyempurnakan segala urusan berkaitan termasuk pengurusan jenazah dan pelaksanaan badal haji bagi pihak Allahyarham.

“Saya mendoakan agar Puan Norasiah, anak-anak serta seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran. Al-Fatihah buat roh Allahyarham. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin,” tambah beliau.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai waktu dan lokasi pengebumian, namun ia dijangka akan diuruskan segera mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dengan kerjasama Tabung Haji.

WhatsApp
Scroll to Top