JELEBU, 6 Sept (IKIM) – Program Jelajah Mahabbah MADANI IKIMfm bersama agensi-agensi agama Islam Negeri Sembilan membuka lembaran baharu buat penghuni Institusi Pemulihan Dadah (Penjara Jelebu) apabila ia disifatkan sebagai simbol kasih sayang, keinsafan dan peluang kedua dalam membina kehidupan.

Pengarah Penjara Negeri Sembilan, PKK Talhah Hasim dalam ucapannya menegaskan bahawa kehadiran IKIMfm bersama warga institusi ini membuktikan dakwah, sokongan moral dan bimbingan rohani tidak pernah terbatas di sebalik tembok penjara.
“Setiap insan pernah melakukan kesilapan. Namun yang lebih penting ialah bagaimana kita bangkit, memperbaiki diri, dan melangkah ke hadapan dengan penuh keazaman. Program sebegini memberi mesej besar bahawa mereka bukan kelompok yang tersisih,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa konsep Malaysia MADANI menekankan nilai belas ihsan, keadilan dan keterangkuman yang harus diterjemahkan dalam kehidupan seharian, termasuk usaha pemulihan penghuni.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir, berkata pihaknya memberi tumpuan terhadap aspek pemulihan rohani dan pembangunan sahsiah dengan menyokong penubuhan Pusat Tahfiz Ibu Tufail di institusi berkenaan.

Menurut beliau, MAINS menyalurkan RM74,511.47 daripada dana wakaf bagi menaik taraf Surau An-Nur termasuk pembinaan kelas tahfiz dan penyediaan karpet baharu, selain RM50,000 daripada dana zakat untuk menampung kos operasi kelas tahfiz.
“Apabila al-Quran menjadi asas kehidupan, ia mampu menjadi benteng pertahanan diri, penawar hati dan panduan sepanjang hayat. Setiap ujian adalah tanda kasih sayang Allah SWT, maka jangan pernah berputus asa daripada rahmat-Nya,” ujarnya.

Beliau yakin kerjasama strategik antara MAINS, agensi agama Islam Negeri Sembilan dan pihak penjara akan melahirkan insan yang bebas daripada belenggu dadah serta berguna kepada keluarga, masyarakat dan agama.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali, pihak penjara serta agensi agama yang berganding bahu menjayakan program berteraskan semangat MADANI dengan harapan memberi kekuatan dan sinar baharu kepada penghuni.

Bersempena program jelajah ini turut dianjurkan Forum Bicara Ad-Din bertajuk “Pintu Taubat Sentiasa Terbuka” bersama panel Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Felo IKIM/Ahli MAINS; Haji Norazman Amat, Pengarah Jabatan Wakaf dan Mal MAINS; Muhammad Jimmy Azlin, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Jelebu; Muhammad (bukan nama sebenar), Prospek Penjara Jelebu dan penyampai IKIMfm, Ahmad Al Muhsin sebagai moderator.