JELAJAH INISIATIF YAYASAN LTAT PERKASA KEMAHIRAN DAN KEBAJIKAN WARGA ATM DI SABAH

SANDAKAN, 24 Nov (IKIM) – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) meneruskan komitmennya memperkasa keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui penganjuran siri Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT yang berlangsung di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah.

Program jelajah yang menghimpunkan seramai 350 anggota ATM serta ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ini dianjurkan bagi menyampaikan maklumat menyeluruh mengenai ekosistem inisiatif Yayasan LTAT, selain mempromosikan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) yang memberi peluang kepada ahli BAKAT mempelajari pelbagai kemahiran baharu.

Yayasan LTAT menyasarkan agar lebih ramai ahli BAKAT memahami manfaat K²T dan seterusnya menyertai kursus-kursus pendek yang ditawarkan.

Turut hadir menyokong penganjuran program ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-22 RAMD, Lt Kol M. Idris Odding; Penolong Pegawai Memerintah Batalion Ke-22 RAMD, Mejar Mohd Naim Mustapha serta Pegawai Gerakan Batalion Ke-22 RAMD, Mejar Mohd Shafiq Amri Othman.

Taklimat inisiatif Yayasan LTAT disampaikan oleh Pengurus Kanan Pembangunan Korporat Yayasan LTAT, Mohammad Zamri Zakaria, manakala penerangan berkenaan kursus-kursus di bawah K²T dikendalikan oleh Pengarah Kolej Komuniti Sandakan, Haji RudiansahNonche.

Pengembangan Program K²T diperluaskan ke Sabah melalui kerjasama strategik dengan institusi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), termasuk Kolej Komuniti Sandakan yang menawarkan kursus pembelajaran sepanjang hayat.

Antara kursus paling popular ialah Penghasilan Meatballs & Patty Burger, Korean Garlic Cheese Bun, Asas Jahitan, Tali Tinggi dan Sub-Irrigated Planter (SIP).

Setakat ini, Program K²T telah melaksanakan 28 kursus melibatkan 952 ahli BAKAT di seluruh negara, dengan taklimat Fasa 1 melibatkan 1,150 peserta di 8 kem, manakala Taklimat Fasa 2 merangkumi 1,250 peserta di 5 kem, menunjukkan sambutan yang semakin meningkat terhadap program kemahiran tersebut.

Selain sesi taklimat, Yayasan LTAT turut menyalurkan sumbangan kebajikan kepada 95 anggota ATM sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan warga pertahanan.

Yayasan LTAT berharap penganjuran jelajah ini dapat meningkatkan penyertaan warga ATM Sabah dalam Program K²T serta memberi kefahaman jelas mengenai inisiatif yang ditawarkan, selaras dengan aspirasi MADANI dalam memperkukuh pembangunan modal insan.

Jelajah ini akan diteruskan ke baki tujuh kem ATM di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai warga pertahanan mendapat akses kepada peluang pembangunan kemahiran dan sokongan kebajikan.

WhatsApp
Scroll to Top