ISKANDAR PUTERI, 9 Sept (IKIM) – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee menegaskan bahawa agensi agama perlu terus memperkukuh peranan dengan mengadaptasi teknologi digital dan pendekatan tadbir urus berstrategi bagi mendepani cabaran global semasa.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 yang berlangsung di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini.
Menurut beliau, agensi agama merupakan tonggak penting pembangunan negara, bukan sahaja dalam aspek agama tetapi juga dalam mencorakkan hala tuju negara selaras dengan konsep Malaysia Madani.
“Agensi agama mesti menjadi lebih inklusif, responsif dan berwibawa dalam memastikan dasar serta pengurusan hal ehwal Islam selari dengan tuntutan semasa tanpa menggadaikan prinsip syariat. Keputusan tidak boleh lagi dibuat secara ad-hoc tetapi perlu berasaskan data raya, kajian dan penilaian yang terancang,” katanya.
Sirajuddin turut mengingatkan bahawa sejarah penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menunjukkan pentingnya penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, malah penetapan Raja Pemerintah sebagai Pengerusi MKI pada tahun 2022 menjadi lembaran baharu dalam tadbir urus Islam negara.
Beliau turut menekankan keperluan agensi agama menyahut Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang diperkenalkan kerajaan, termasuk memperluas penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), big data analytics, blockchain, virtual reality (VR), augmented reality (AR) dan Internet of Things (IoT) dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“JAKIM kini telah menyediakan enam sistem aplikasi berpusat untuk kegunaan negeri, antaranya SIMPENI, MYeHALAL dan SPPIM. Semua negeri digalakkan mengguna pakai sistem ini bagi mewujudkan keseragaman pentadbiran serta pangkalan data Islam bersepadu,” jelasnya.
Namun, beliau mengakui cabaran wujud dalam bentuk jurang digital antara negeri, tahap kemahiran pegawai yang berbeza serta isu etika penggunaan teknologi.
“Walaupun berdepan cabaran, saya yakin dengan strategi penambahbaikan berterusan, agensi agama mampu menjadi pemacu perkhidmatan terbaik yang kekal relevan, inovatif dan inklusif demi kesejahteraan ummah,” tambahnya.
Konvensyen kali ketiga ini menghimpunkan pelbagai agensi agama seluruh negara sebagai platform penyelarasan strategi, perkongsian pengalaman serta usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.