JAKIM TEGAS TIADA KOMPROMI ISU HALAL LIBATKAN UNSUR BABI

KUALA LUMPUR, 4 April (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat Pensijilan Halal Malaysia, khususnya melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi.

Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan tegas itu susulan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) oleh Jabatan Agama Islam Melaka terhadap beberapa premis di Melaka.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil selepas penemuan berus yang mempunyai ciri bulu babi di sebuah kilang kopi dan kilang biskut di negeri berkenaan.

“Pihak syarikat terlibat telah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penggunaan logo Halal Malaysia, menarik balik semua produk yang terkesan dari pasaran serta melaksanakan tindakan pembetulan termasuk proses sertu mengikut hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan JAKIM menghormati sepenuhnya bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri dalam pengurusan pensijilan halal serta pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan.

Tambah beliau, sebarang ketidakpatuhan terhadap piawaian halal, khususnya yang melibatkan unsur najis berat, merupakan satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara.

“Tindakan bersepadu akan terus dilaksanakan bagi menjamin kemaslahatan masyarakat dalam memperoleh makanan halal serta memastikan setiap pelanggaran ditangani dengan tegas dan segera,” katanya.

WhatsApp
Scroll to Top