JAKIM JULUNG KALI ANJUR USRAH MEGA MUSLIMAH (UMMU) 2025, PERKASA PERANAN WANITA DAN INSTITUSI KELUARGA

PUTRAJAYA, 9 Dis (IKIM)  — Program Usrah Mega Muslimah (UMMu 2025) yang julung kali dianjurkan hari ini berlangsung dengan penuh meriah dan berjaya menarik kehadiran luar biasa apabila Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya dipenuhi para peserta sejak awal pagi.

Program tersebut dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang hadir memberikan ucapan dan sokongan terhadap usaha memperkasa wanita di seluruh negara.

UMMu 2025 dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), PPZ–MAIWP, serta beberapa rakan strategik lain.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang juga merupakan penaung PuSPANITA menegaskan bahawa wanita hari ini memikul tanggungjawab besar dalam mengimbangi peranan sebagai isteri, ibu dan pada masa sama berkhidmat dalam kerjaya.

Beliau mengingatkan bahawa kekuatan rohani adalah asas utama dalam menghadapi cabaran tersebut, sambil menyeru para wanita untuk sentiasa berdoa agar diberi ketabahan dan hikmah dalam menjaga keluarga di samping komitmen profesional.

“Kesejahteraan keluarga dapat diperkukuh apabila wanita dibimbing dengan ilmu, diberi sokongan dan ruang penguatcayaan melalui program seperti UMMu”, katanya.

Turut hadir majlis perasmian Yang Dipertua PUSPANITA, Puan Sri Maheran Jamil; PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi di Bawah Hal Ehwal Agama (JPM), Datin Setia Nik Roslini binti Raja Ismail; Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Timbalaan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIMKolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail,

Sementara itu, Sirajuddin menyifatkan kehadiran luar biasa hari ini sebagai isyarat positif terhadap minat dan kesedaran wanita untuk meningkatkan ilmu serta peranan mereka dalam membangunkan keluarga dan masyarakat madani.

Beliau menjelaskan bahawa program ini merupakan penganjuran sulung di peringkat kebangsaan dan bakal diperluaskan ke peringkat negeri tahun hadapan dengan sokongan jabatan agama negeri dan PUSPANITA cawangan.

Menurut beliau, antara isu utama yang dikenal pasti dalam sesi perkongsian ialah cabaran rumah tangga yang sering bermula dari persekitaran keluarga itu sendiri, menjadikan peranan wanita sebagai agen keharmonian amat penting.

Justeru, UMMu 2025 dirangka sebagai platform untuk memberikan panduan, bimbingan dan pencerahan agar keluarga dapat dibentuk dengan nilai ihsan, kasih sayang dan kesejahteraan, seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat madani yang lebih makmur dan harmoni.

Dengan gabungan sesi ilmu, motivasi serta sokongan pelbagai agensi, UMMu 2025 diharap menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan memperkasa wanita dan membangunkan institusi keluarga di seluruh negara.

WhatsApp
Scroll to Top