JAKIM BERSAMA-SAMA PIHAK BERKUASA TERUS GIAT MEMBANTERAS PERBUATAN HINA ISLAM

PUTRAJAYA, 10 Mac (IKIM) – Sesiapa sahaja yang terlibat dengan perbuatan menghina agama akan diambil tindakan tanpa pilih kasih selaras dengan peruntukan undang-undang negara, tegas Perdana Menteri. 

Kenyataan ini disokong penuh oleh semua agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar.

Hal ini kerana kegagalan segelintir pihak untuk menghormati sensitiviti agama di negara ini telah berjaya mencetuskan kegelisahan awam, ujar Mohd Na’im dalam kenyataan media Jumaat lalu.

Menurut beliau, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagi kes-kes melibatkan penghinaan terhadap agama Islam, kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), majlis agama Islam dan jabatan agama Islam negeri-negeri akan terus dipertingkatkan agar dibawa ke muka pengadilan.  

“Mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuatkuasa.”

“Sepertimana proses siasatan dan pendakwaan kes-kes penghinaan Islam sebelum ini, ia menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian bernegara,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak untuk menghormati undang-undang serta proses siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa demi kepentingan perpaduan negara.

Oleh Husna Fathiyyah binti Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top