JABATAN MUFTI PAHANG TEGUR S-LINE TREND, INGATKAN UMAT ISLAM JAGA MARUAH DAN AIB

Kuantan, 23 Julai (IKIM) – Jabatan Mufti Negeri Pahang menegur trend media sosial dikenali sebagai S-Line Trend yang kini tular di TikTok kerana disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam serta membuka ruang kepada normalisasi maksiat dalam kalangan umat Islam, khususnya golongan remaja.

Trend tersebut diinspirasikan daripada drama Korea S-Line, yang memaparkan fenomena ghaib garisan merah di atas kepala individu sebagai tanda hubungan fizikal yang pernah dilakukan.

Trend ini kemudian diadaptasi oleh pengguna media sosial sebagai bentuk hiburan, gurauan, atau simbol tekanan hidup.

Namun menurut kenyataan Jabatan Mufti, penyertaan terhadap trend ini boleh dikategorikan sebagai berbangga dengan dosa (fakhru bi al-ma‘ṣiyah) dan secara tidak langsung dianggap menzahirkan maksiat, walaupun dilakukan secara simbolik.

“Jika pernah terlibat dengan dosa, seseorang wajib menyembunyikan aibnya. Mendedahkan pekung, sama ada secara jelas atau isyarat, adalah dilarang dan boleh membawa kepada tindakan syarak,” menurut kenyataan tersebut.

Jabatan itu turut mempersoalkan niat di sebalik penyertaan trend, sama ada sekadar hiburan, populariti atau dakwah tersirat, namun menegaskan bahawa berhibur dengan perkara yang haram tetap tidak dibenarkan dalam Islam.

Selain menyentuh soal niat dan akidah, Jabatan Mufti turut menekankan bahawa trend ini bercanggah dengan adab malu (ḥayā’) dan boleh menjejaskan izzah seorang Muslim, apabila perkara dosa dijadikan bahan jenaka dan tontonan umum.

“Trend ini bukan sahaja sia-sia, bahkan membuka jalan kepada maksiat digital yang wajib dicegah,” tegas kenyataan itu lagi.

Jabatan Mufti mengingatkan agar umat Islam menjauhi trend ini, menutup aib diri dan bertaubat kepada Allah SWT serta hanya berhibur dengan panduan syariat.

WhatsApp
Scroll to Top